"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hakim tegur keras bapa, datuk dera ahli keluarga sendiri secara seksual

V Anbalagan

Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 42 tahun ke atas seorang lelaki yang merogol anak tirinya sebanyak 105 kali dalam tempoh tiga tahun.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 42 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap seorang lelaki yang merogol anak tirinya sebanyak 105 kali dalam tempoh tiga tahun.

Ketika menyampaikan keputusan, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Hadhariah Syed Ismail menegur lelaki berusia 37 tahun itu dan pesalah seksual lain atas perbuatan keji menganiaya ahli keluarga mereka sendiri.

Hadhariah berkata, kes-kes membabitkan bapa dan datuk melakukan jenayah sebegitu berleluasa, walaupun mahkamah mengenakan hukuman penjara bersifat cegahan.

“Mereka ini tidak peduli mahupun takut dengan undang-undang walaupun kami hantar ke penjara,” katanya ketika menolak rayuan terakhir tertuduh agar tempoh penjaranya disingkatkan.

Bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin, Hadhariah memberitahu peguam, KA Ramu, bahawa mahkamah tidak yakin tertuduh menyesal.

Ramu, yang mengendalikan kes itu secara pro bono, mencadangkan anak guamnya dikenakan hukuman penjara 30 tahun supaya dia boleh kembali ke pangkuan masyarakat lebih awal.

“Bapa tiri jenis apa ini, merogol mangsa? Walaupun hanya sekali (tertuduh melakukannya), dia tidak boleh dimaafkan, apatah lagi 105 kali,” katanya.

Ahmad Zaidi berkata, tertuduh bernasib baik kerana didakwa bawah Kanun Keseksaan, bukan bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman lebih berat.

Azmi berkata, dalam kes ini, mangsa pasti trauma seumur hidup.

Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Akhir berhujah bahawa tertuduh mungkin mendera mangsa secara seksual hampir setiap minggu pada 2018.

“Pada 2020, (mangsa) memberanikan diri untuk lari dari rumah dan menceritakan kejadian kepada ibu saudaranya,” kata Dhiya sambil menambah, tertuduh mengambil kesempatan terhadap anak tirinya, yang bawah umur, ketika isterinya keluar bekerja.

“Tertuduh patut dipenjarakan lebih lama lagi.”

Mengikut fakta kes, tertuduh melakukan serangan seksual terhadap gadis itu sebanyak 50 kali pada 2018, ketika mangsa berusia 12 tahun; 32 kali pada 2019; dan 23 kali pada 2020.

Pada 27 Jan 2021, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 1,050 tahun terhadap tertuduh, bermula dari tarikh dia ditangkap pada 20 Jan 2020.

Bagaimanapun, tahun lepas, Hakim Azmi Abdullah mengurangkan hukuman penjara kepada 42 tahun. Menurutnya, tidak logik untuk mahkamah mengenakan hukuman penjara lebih lama daripada purata jangka hayat manusia.

Azmi membuat keputusan berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan 2009 bahawa tempoh hukuman penjara perlu munasabah dan mesti mengambil kira jangka hayat seseorang tertuduh.

Hakim bagaimanapun mengekalkan 24 sebatan rotan, jumlah maksimum yang dibenarkan mengikut undang-undang.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen, mengaku bersalah atas kesalahan yang didakwa dilakukan di sebuah rumah di Sungai Way, Selangor, dari 5 Jan 2018 hingga 24 Feb 2020.

Berikutan pengurangan tempoh hukuman penjara kepada 42 tahun, dan dengan pengurangan satu pertiga lagi atas kelakuan baik, tertuduh boleh dibebaskan selepas 28 tahun dipenjarakan.

Tiada ulasan: