"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita Malaysia dipenjara rancang ‘potong’ lidah, kemaluan bekas teman lelaki

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sebuah mahkamah Australia menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang bekas jururawat kelahiran Malaysia kerana membayar seorang lelaki kira-kira AUD3,000 (kira-kira RM9,000) untuk memotong lidah dan kemaluan bekas teman lelakinya.

Mahkamah Daerah Cairns di Queensland Utara menjatuhkan hukuman itu ke atas Karen Kaur Warburton, 50, bagi memastikan inspektor polis Queensland, Don McKay tidak “dapat berjalan atau bercakap lagi” selepas memutuskan hubungan mereka.

The Daily Mail melaporkan Warburton mengaku bersalah atas satu pertuduhan “cuba mendatangkan kecederaan parah” dan satu pertuduhan “cuba melakukan perbuatan jahat dengan niat”.

Hakim Joshua Treviño berkata tindakan wanita itu “hanya boleh digambarkan sebagai kejam dan dirancang”.

“Keseriusan dalam kesalahan kamu bukan dilihat pada hakikat tiada sebarang kemudaratan dialami pengadu, sebaliknya kamu merancang sejak awal lagi.

“Kamu ada banyak peluang untuk menilai semula, berhenti dan tidak meneruskan rancangan kamu. Tapi kamu tak buat macam itu.”

Warburton dan McKay menjalin hubungan mulai Mac 2020, tetapi hubungan mereka putus pada awal 2021.

Antara 1 April hingga 6 Okt 2021, Warburton membayar penduduk tempatan, Andrew Bown kira-kira AUD3,000 untuk mencederakan bekas teman lelakinya.

Dia memberikan gambar dan alamat McKay kepada Bown untuk mencederakannya.

Mahkamah juga diberitahu Bown melakukan beberapa cubaan untuk mencederakan McKay.

Seorang lagi lelaki yang diupah Bown menyembur rumah McKay dengan cecair pemetik api dan membakarnya yang menyebabkan kerosakan berjumlah AUD20,000.

Bown juga cuba merekrut orang lain, tetapi tawaran itu ditolak segera.

Pada November 2022, Mahkamah Daerah Cairns menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun setengah kepada Bown.

Warburton dilaporkan berhijrah ke Australia bersama bekas suaminya pada 2007, selepas menamatkan pengajian kejururawatannya di UK.

Tiada ulasan: