"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Waspada peralihan sokongan

Shahbudin Husin 

Saya adalah antara sejumlah besar rakyat Malaysia yang gembira pada mulanya apabila tiba-tiba ada Ahli Parlimen blok pembangkang mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Pada saya, ini bukan saja menandakan kepimpinan Anwar lebih diyakini, malah akan menjanjikan atmosfera politik yang lebih stabil kepada negara sehingga PRU16 akan datang.

Apabila politik stabil, harapan seterusnya tentulah agar kerajaan mampu melakukan lebih kebaikan kepada rakyat, mengembangkan lagi ekonomi, menyediakan lebih peluang pekerjaan dan menjadikan negara ini benar-benar sejahtera untuk didiami.

Bermula dengan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), kemudian Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan seterusnya Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang tampil secara terbuka mengumumkan sokongan terbuka mereka kepada Anwar, saya menulis dengan respon yang baik terhadap tindakan mereka itu.

Bahkan, kelmarin selepas Mohd Azizi mengumumkan sokongannya kepada Perdana Menteri, saya malah menyarankan agar PN secara “en bloc” sepatutnya segera memberi sokongan kepada Anwar juga.

Ini kerana dengan satu demi satu telah beralih sokongan, bersama PN yang semakin hilang harapan untuk menjatuhkan kerajaan, lebih baiklah mereka beramai-ramai menyokong kepimpinan Anwar.

Setidak-tidaknya dengan berbuat demikian, semua Ahli Parlimen PN akan beroleh peruntukan kerajaan bagi kawasan masing-masing dan pengundi mereka akhirnya dapat sama-sama menikmati limpahan pembangunan.

Tetapi, apabila tidak sampai 24 jam selepas Mohd Azizi mengalihkan sokongannya, ia kemudian diikuti pula oleh Ahli Parlimen keempat iaitu Zahari Kechik, hati kecil saya mula terdetik perasaan sangsi.

Kenapa begitu cepat seorang lagi Ahli Parlimen Bersatu menyusul memberi sokongan, apakah semua ini sengaja direncana?

Pada waktu yang sama, saya juga meneliti pimpinan utama Bersatu tidak begitu keras mengecam tindakan Ahli Parlimen mereka yang beralih arah itu.

Hanya ketika Iskandar Dzulkarnain saja terlihat ada reaksi yang agak keras, namun selepas itu semuanya dianggap semacam biasa-biasa saja.

Bahkan, pimpinan utama Pas juga tidak ternampak marah dengan tindakan Mohd Azizi dan Zahari itu.

Walhal. kedua-dua calon Bersatu itu bertanding dalam PRU15 lalu adalah menggunakan lambang bulan.

Tidakkah Pas sepatutnya rasa mereka dikhianati?

Tidak pernah dihentikan

Dalam konteks berkaitan, beberapa perkhabaran pula singgah ke telinga saya mengatakan usaha blok pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sebenarnya masih lagi berjalan dan tidak pernah dihentikan.

Malah, ada pemimpin pembangkang baru-baru ini difahamkan telah menghantar wakilnya ke Kota Kinabalu untuk bertemu dengan pemimpin negeri Sabah yang tertentu.

Meskipun, dalam masa yang sama ada pemimpin dalam Bersatu sendiri difahamkan tidak berapa yakin usaha menjatuhkan Anwar boleh membuahkan kejayaan, pokoknya PN tetap mencari jalan dan tidak pernah berhenti untuk menjatuhkan kerajaan sebelum PRU16 tiba.

Semua ini lantas menimbulkan persoalan, apakah seorang demi seorang Ahli Parlimen Bersatu yang mengalih sokongan ini hanya sekadar umpan agar Anwar jadi leka?

Ini seterusnya mengingatkan bagaimana kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dijatuhkan pada 2009 lalu di mana ia bermula dengan Adun Bota daripada UMNO, Nasarudin Hashim tiba-tiba keluar parti dan menyertai PKR.

PR amat seronok ketika itu kerana majoriti kerajaan negeri telah bertambah, tetapi tidak lama kemudian, kerajaan negeri pimpinan Nizar Jamaluddin berjaya ditumbangkan hanya setelah 11 bulan berkuasa apabila dua Adun PKR, Jamaluddin Mohd Radzi dan Othman Jailu mengumumkan keluar parti, seterusnya diikuti seorang Adun DAP, Hee Yit Fong mengumumkan menjadi Adun Bebas.

Nasarudin yang sebelum itu melompat ke PKR turut kembali semula kepada UMNO kemudiannya, lalu termenjadilah Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

Apakah strategi yang sama sedang digunakan untuk menumbangkan Anwar dan Kerajaan Perpaduan?

Bermula dengan tindakan Zahari kelmarin yang menjadi Ahli Parlimen keempat memberi sokongan kepada Anwar, saya tidak lagi jadi teruja dengan peralihan sokongan yang berlaku.

Kalau selepas ini ada lagi yang berbuat demikian pun, saya hanya ingin memerhati saja.

Memang semua yang beralih sokongan itu sudah dan akan digantung keahlian, tetapi mereka masih bebas menyokong sesiapa saja pada masa akan datang, apabila setelah kerajaan bertukar tangan.

Yang penting, harap-harap Anwar tidak terpedaya dan tidak termakan umpan yang ada jerat di sebaliknya.

Tiada ulasan: