"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Bunyi macam kapal terbang meletup'

SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
Kebakaran kilang di Bukit Selambau pada Ahad malam mengakibatkan letupan kuat sehingga mengejutkan penduduk. (Gambar kecil: Norehan, Normah, Rosnani)
Kebakaran kilang di Bukit Selambau pada Ahad malam mengakibatkan letupan kuat sehingga mengejutkan penduduk. (Gambar kecil: Norehan, Normah, Rosnani)
SUNGAI PETANI - "Bunyi seolah-olah kapal terbang mendarat rendah atas bumbung rumah sebelum terbakar dan meletup kuat."

Itu antara reaksi penduduk berhubung kejadian kebakaran yang tercetus di Bukit Selambau pada Ahad malam yang mengejutkan ramai pihak.

Norehan Hasan, 45, yang merupakan penduduk Kampung Baru Bukit Selambau berkata, akibat bunyi yang terlalu kuat, dia yang sedang makan meninggalkan makanan seperti mahu menyelamatkan diri kerana tidak tahu apa yang sedang berlaku.

"Takutlah, pakat keluar habis, bila jenguk luar nampak api marak menjulang tinggi sehingga melepasi pokok kelapa," katanya menyedari berlaku kebakaran besar.

Melihat keadaan yang tidak terkawal, Norehan segera menghubungi pasukan bomba bagi memaklumkan kejadian.

Seorang lagi penduduk Perumahan Awam Bukit Selambau, Shariza Mohd Sharif, 46, turut mengakui bunyi kuat itu seolah-olah seperti kapal terbang ingin mendarat.

"Semua pakat keluar tengok, ada yang takut sebab depa kata macam bunyi kapal terbang serang... meletup-letup, rupa-rupanya kilang yang terbakar," katanya.

Seorang penduduk Kampung Penghulu Tua, Normah Che Noor, 60, berkata, bunyi letupan kuat yang didengari disangka latihan tembakan anggota Rela memandangkan kedudukan pusat latihan pasukan itu terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Bila dengar banyak kali tak habis-habis meletup, duk tanya suami kenapa latihan Rela tak habis lagi, sakan sungguh bunyi.

"Malam tu kami nak keluar ke Kuala Ketil tapi pusing kat kawasan tu dulu sebab nak tengok dari dekat apa yang berlaku... dari jauh nampak asap merah hitam, rasa bahang, kami tak pi dekat sebab takut, nampak juga percikan bunga api seolah-olah macam pertunjukan pula," katanya.

Selain itu, rakannya, Rosnani Shaari, 54, berkata, kebakaran disedari sekitar 7.40 malam yang jelas kelihatan dari luar rumah.

"Mula-mula ingat Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau yang terbakar, kami lalu depan sekolah tetapi tak dak apa, ke depan sikit baru nampak, kilang yang terbakar dengan percikan bunga api berpanjangan sampai tengah malam pun ada lagi," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kebakaran di sebuah kilang di Bukit Selambau turut mengakibatkan letupan seakan-akan bunga api sehingga dapat dilihat jelas oleh pengguna jalan raya dalam kejadian petang Ahad.

Tiada ulasan: