"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Banjir kilat: Mangsa pecah pintu, kopak bumbung untuk selamatkan diri

Malaysiakini 

Beberapa penduduk di Jalan Mas, Taman Kolam Air, di Johor Bahru menempuh detik cemas apabila terpaksa memecahkan pintu dan bumbung rumah untuk menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam kejadian banjir kilat petang tadi.

Mangsa, Muhammad Ikram Md Rashid, 24, berkata dia menyedari dirinya terperangkap selepas terdengar bunyi hentakan kuat pada pintu depan rumahnya.

"Ketika itu saya sedang berbaring sebelum terdengar bunyi seperti hentakan di pintu. Bila saya jenguk ke luar tingkap, rupanya air sudah naik hingga ke paras dada.

"Saya terus jerit minta tolong kerana kami yang berada dalam rumah tak dapat keluar sebab air di luar dah tinggi. Selepas 20 minit, baru ada jiran bantu kopakkan pintu," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Dia yang bekerja di Singapura dan kebetulan tidak bekerja hari ini, berjaya keluar dengan sehelai sepinggang.

Sementara itu, Joshua Abraham, 29, yang menyewa di kawasan itu berkata dia dan rakan-rakannya terpaksa mengopak bumbung rumah untuk mengeluarkan seorang daripada rakan mereka.

"Semua terkejut bila dengar jeritan. Saya tak dapat nak bawa apa-apa, baju pun tak pakai. Saya risaukan pasport sebab saya kerja di Singapura, tapi hari ini tak kerja," katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Dia juga tidak sempat menyelamatkan motor dan kereta miliknya kerana air naik terlalu cepat.

Seorang peniaga, P Kili , 50, bimbang selepas dua kali dilanda banjir kilat dengan banjir kali ini lebih buruk.

Dia yang berniaga kedai makan, kedai dobi dan kedai barangan kahwin berkata kesemua barangan dan perkakas di ketiga-tiga kedai tersebut rosak teruk.

"Tujuh mesin basuh dan dua peti sejuk ditenggelami air. Saya tak sempat berniaga hari ini, semuanya sudah rosak.

"Kali pertama banjir pada tahun lepas tetapi cuma paras lutut, itupun sudah rugi ribuan ringgit. Tak tahulah bagaimana kali ini," katanya dalam nada sedih.

Hujan lebat berterusan selama dua jam di bandar raya ini sejak tengah hari tadi mengakibatkan kira-kira 25 lokasi dilanda banjir kilat.

- Bernama

Tiada ulasan: