"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Sam ketua pembangkang? PAS kata boleh bawa ke mesyuarat PN

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Cadangan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai ketua pembangkang mungkin boleh dibawa ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Perikatan Nasional (PN) akan datang, kata pemimpin PAS.

“Masih terlalu awal nak komen bab itu, hal ini boleh bincang dalam mesyuarat MPT PN akan datang.

“Kita explore (kaji) jalan yang terbaik untuk kekuatan PN dan bawa kestabilan untuk negara,” kata Sanusi Nor yang juga menteri besar Kedah kepada FMT.

Sanusi mengulas cadangan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil supaya Samsuri, lebih dikenali sebagai Dr Sam yang menang PRK Kemaman Sabtu lalu, mungkin boleh dilantik sebagai ketua pembangkang jika naib presiden PAS itu memenuhi kriteria menjadi calon perdana menteri.

Fahmi memberi cadangan itu mengulas keyakinan Perikatan Nasional (PN) bahawa Samsuri merupakan antara calon perdana menteri gabungan itu pada masa depan.

Ketika ini peranan ketua pembangkang digalas Ahli Parlimen Larut daripada Bersatu, Hamzah Zainudin.

Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan Samsuri diangkat sebagai calon perdana menteri gabungan itu pada masa depan.

Jelasnya, Samsuri mempunyai kelayakan dan personaliti yang baik.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menghormati pandangan Fahmi sambil berkata partinya tidak ada sebarang masalah dengan Hamzah.

“Ketua pembangkang yang ada sekarang pun telah melaksanakan fungsinya dengan baik,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas.

Ketua Wanita PAS, Nuridah Mohd Salleh, pula berkata ketika ini tiada perbincangan daripada kepimpinan tertinggi berhubung cadangan berkenaan.

“Hamzah akan terus jadi ketua pembangkang pun tiada masalah buat masa ini. Yang penting ada mesyuarat atau perbincangan antara satu sama lain, terutama bila menghadapi sesuatu isu-isu penting,” katanya.

Tiada ulasan: