"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jawatan Ketua pembangkang: Pemimpin Bersatu bimbang PAS dituduh gila jawatan

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu bimbang musuh menggunakan isu ketua pembangkang dikaitkan dengan kemenangan Ahmad Samsuri Mokhtar pada PRK Kemaman, untuk menuduh PAS ‘gila jawatan atau kacang lupakan kulit’.

Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya Wan Saiful Wan Jan berkata PAS sentiasa menjadi sasaran untuk diburukkan dengan pelbagai tohmahan sedangkan realiti sebenar adalah berbeza.

Beliau berkata isu itu pada dasarnya di bawah bidang kuasa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang sebaiknya dibincangkan antara presiden parti termasuk Hamzah Zainudin sebagai penyandang jawatan.

“Saya tak mahu ia dipergunakan musuh untuk menuduh PAS gila jawatan atau kacang lupakan kulit sebab musuh sentiasa cuba memburukkan PAS dengan mengatakannya cepat lupa dan sebagainya.

“Padahal kita semua tahu PAS bukan parti yang gelojoh,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas cadangan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil supaya Samsuri, lebih dikenali sebagai Dr Sam yang menang PRK Kemaman Sabtu lalu, mungkin boleh dilantik sebagai ketua pembangkang jika naib presiden PAS itu memenuhi kriteria menjadi calon perdana menteri.

Sebelum ini, Muhyiddin tidak menolak kemungkinan Samsuri diangkat sebagai calon perdana menteri gabungan itu pada masa depan, di samping pemimpin PAS itu mempunyai kelayakan dan personaliti yang baik.

Pada PRK Kemaman, Samsuri menewaskan calon BN Raja Affandi Raja Mohamed Noor dengan majoriti 37,220 undi.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor turut senada dengan Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor supaya perkara itu dibincangkan ke mesyuarat pimpinan PN akan datang.

“Lepas itu pastikan kita laksana seperti diputuskan pihak atasan terutama dalam hal membabitkan lantikan baik di parlimen, DUN dan pentadbiran,” katanya.

Tiada ulasan: