"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki Bangladesh, wanita Indonesia ditahan jadi ejen permit kerja tidak sah

KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Dua warga asing yang menjadi ejen kepada sindiket memperbaharui permit secara tidak sah ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Johor dalam satu operasi di sebuah rumah flat di Pasir Gudang, di sini, awal pagi hari ini.

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir berkata, suspek seorang lelaki warga Bangladesh berusia 44 tahun dan seorang wanita Indonesia berusia 37 tahun ditahan dalam serbuan yang dibuat pada pukul 1.15 pagi.

Menurut beliau, kedua-dua yang ditahan merupakan antara empat individu yang diperiksa dalam operasi berkenaan.

“Pasukan turut merampas 13 naskah pasport antarabangsa Bangladesh dan India yang disorokkan dalam almari pakaian beserta wang tunai berjumlah RM34,983.

“Sasaran utama sindiket ini adalah warga asing yang majoritinya terdiri daripada warga Bangladesh yang telah mempunyai permohonan lanjutan permit kerja serta pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.

“Bayaran dikenakan untuk perkhidmatan tersebut adalah antara RM2,000 hingga RM3,000 bagi satu permohonan,” katanya kepada pemberita.

Tambah Baharuddin, suspek wanita ditahan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Manakala suspek lelaki pula ditahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Passport 1966 (Akta 150) kerana tanpa kuasa sah mempunyai pasport atau dokumen yang dikeluarkan bagi kegunaan seseorang atau dirinya.

“JIM memandang serius kegiatan sindiket mengaut keuntungan dengan mengeluarkan atau membekalkan dokumen jabatan secara penipuan kerana dikhuatiri boleh mencemarkan nama baik dan imej Malaysia,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar terus berurusan dengan pejabat imigresen dan tidak menggunakan orang tengah atau ejen untuk sebarang urusan bagi mengelak ditipu.-KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: