Haspaizi Zain
Satu laporan polis telah dibuat bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat individu bernama Victor Yong Jen Ong yang didakwa mempromosikan Israel serta meminta kerajaan menjalinkan hubungan diplomatik dengan rejim Zionis itu.
Ahli perniagaan Syed Mohammad Shafiq Syed Jaafar berkata kenyataan Victor itu melampau kerana membuat gesaan ketika mana Palestin sedang ditindas oleh Israel selain mengetahui pendirian Malaysia dalam hal itu.
"Kita menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat individu berkenaan yang secara jelas mempromosikan Israel serta galakan hubungan diplomatik dengan Israel.
"Sedangkan polisi kerajaan sejak merdeka lagi tiada hubungan diplomatik dengan Israel, malah dia menggesa supaya diwujudkan kedutaan Israel di Malaysia.
"Kalau masih lagi warganegara (Malaysia) kita minta Kementerian Dalam Negeri (KDN) lucutkan kerakyatannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Syed Mohammad berkata dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini sambil disokong oleh beberapa NGO pro-Palestin termasuk Aman Palestin.
Semalam, tular di platform X, Facebook serta Youtube temua bual Victor bersama pempengaruh dari Israel dan dia mempromosi rejim Zionis.
Dalam temu bual dengan pempengaruh Israel Hananya Naftali, Victor yang mendakwa pernah tinggal di Johor Bahru berkata masyarakat Arab selama ini telah merosakkan pemikiran rakyat Malaysia terhadap Israel dan kegiatan Arab radikal sangat aktif di Malaysia.
Dalam video itu juga kelihatan bendera Israel dikibarkan di sebelah Jalur Gemilang dalam biliknya sewaktu rakaman itu.
Mengulas lanjut, Syed Mohammad berkata dia risau usaha mempromosikan rejim Zionis itu akan memberi kesan terhadap pendirian Malaysia.
Selain itu, katanya ia boleh membawa kepada kegusaran awam dan menggesa pihak berkuasa agar memberi perhatian serius.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan