"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahmad Samsuri belum tentu PM, anak Hadi hampir pasti dapat kerusi MB

HarapanDaily.com

Shahbudin Husin 

Sepertimana yang saya tulis sebelum ini, usaha menonjolkan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri tidak mungkin boleh menjadikannya sebagai Perdana Menteri dalam waktu terdekat ini.

Tiada kemungkinan dan tiada kebarangkalian kerajaan boleh bertukar atau Anwar Ibrahim dapat dijatuhkan, kecuali cuma dalam mimpi dan angan-angan.

Paling hampir, jika pun semua itu boleh berlaku, hanyalah selepas PRU16 pada tahun 2027 akan datang.

Itu pun jika blok pembangkang PN mampu memenangi cukup jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan baru pada PRU16 itu.

Sebelum tiba tarikh PRU16, Dr Ahmad Samsuri tetap kekal sebagai PM Tepi bersama dua lagi penyandang gelaran tersebut iaitu Mahiaddin Md Yasin dan Hamzah Zainuddin.

Dengan adanya Dr Ahmad Samsuri sebagai calon terbaru bagi jawatan Perdana Menteri, secara langsung ada tiga PM Tepi sekarang ini.

Tetapi, dalam konteks meletakkan Dr Ahmad Samsuri sebagai calon Perdana Menteri, ia bermakna beliau tidak akan menjadi Menteri Besar Terengganu lagi selepas ini.

Ertinya, dalam PRU16 akan datang, Dr Ahmad Samsuri hanya akan bertanding di peringkat Parlimen saja dan tidak lagi bertanding kerusi DUN.

Dengan demikian, kerusi Menteri Besar Terengganu yang kosong itu sudah boleh dijangka siapa bakal pengisinya.

Hampir pasti, selepas PRU16 akan datang, jawatan Menteri Besar Terengganu akan diambil alih oleh Dr Muhammad Khalil Hadi, anak kepada Hadi Awang, Presiden Pas sendiri.

Beliau sekarang adalah Exco Kerajaan Negeri Terengganu, selain merupakan Adun Batu Buruk.

Sebagai anak kepada Presiden Pas, pencalonan Dr Mohamad Khalil sebagai Menteri Besar Terengganu tentu saja tidak dibantah, bahkan mendapat persetujuan sepenuhnya daripada parti itu.

Lagi pun, sama-sama bergelar Dr seperti Dr Ahmad Samsuri juga, Dr Muhamad Khalil tidak kurang dari segi kelayakannya untuk menerajui negeri Terengganu.

Dari segi peluang pula, Dr Mohamad Khalil bagaimanapun lebih cerah laluan masa depannya berbanding Dr Ahmad Samsuri.

Ini kerana Pas sudah boleh dijamin akan terus kekal memerintah Terengganu – silap-silap mengulangi lagi kemenangan 32-0 – namun PN belum terjamin lagi mampu menawan Putrajaya.

Dalam hal ini, jika semuanya terbukti menjadi kenyataan nanti, harus diakui bahawa Hadi memang bijak dalam percaturan politiknya.

Tiada ulasan: