"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amanah lapor polis terhadap dakwaan Hadi Awang

AKMAL MANAF 

Parti AMANAH Negara (AMANAH) membuat satu laporan polis terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaannya bahawa kaedah penentangan Islam oleh golongan munafik diikuti oleh Pakatan Harapan dan Islam.

Hadi berkata sedemikian dalam artikel bertajuk ‘Cara golongan munafiq menentang Islam diikuti Israel dan Pakatan Harapan yang disiarkan dalam ruangan Minda Presiden, Berita Pas dan akaun Facebook beliau.

Setiausaha Biro Mobilisasi AMANAH Nasional, Mohamad Faridul Amini Suhaimi menyifatkan, penulisan tersebut adalah satu pembohongan, fitnah dan tuduhan jahat yang jelas tidak benar sama sekali.

“Saya memetik dalam tulisan tersebut ada satu perenggan yang menyatakan ‘konsep yang diguna pakai oleh Pakatan Harapan (PH) menepati demokrasi yang diamalkan oleh Israel terhadap Kerajaan Hamas di Palestin yang memenangi pilihan raya dan mencapai majoriti yang mencukupi.

“PKR sebagai parti minoriti kini memimpin kerajaan boneka pragmatik liberal. Situasi ini juga sama seperti Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang mencapai keputusan minoriti diberikan hak menubuhkan kerajaan dengan sokongan Zionis Israel dan Amerika Syarikat.

“Pendekatan pemerintahan mereka iaitu PH sama seperti pendekatan golongan munafik pada zaman Rasulullah SAW terhadap mereka yang beriman supaya menyekat peruntukan kepada pihak lawan. Itu perenggan atau tulisan yang dipetik,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Faridul yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Selangor berkata, umum mengetahui bahawa Kerajaan Perpaduan yang memerintah Malaysia sekarang ini adalah hasil daripada titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) selepas tidak ada mana-mana parti atau koalisi yang berjaya mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.

“Kini Kerajaan Perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperoleh sokongan majoriti lebih 2/3 ahli parlimen. Begitu juga seperti yang selalu dimaklumkan di Parlimen, bahawa tidak ada peruntukan yang disekat oleh pihak Kerajaan Persekutuan di negeri-negeri pembangkang.

“Malah, mereka mendapat peruntukan yang jauh lebih tinggi daripada kerajaan sebelum ini. Menyamakan PH dengan Zionis Israel adalah sesuatu yang jijik dan ia tuduhan yang keterlaluan dan sangat jahat.

“Penulisan Hadi Awang itu merupakan satu bentuk hasutan yang mencabar kuasa YDPA, boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam serta memecah belahkan masyarakat.

“Ia juga boleh menimbulkan permusuhan serta kebencian di kalangan rakyat negara ini.”

Tiada ulasan: