"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rumah imam Masjid al-Aqsa diserbu pengganas Israel

HarapanDaily.com

Selepas kira-kira setahun imam Masjid Al-Aqsa berdepan provokasi berterusan oleh kumpulan pelampau Yahudi yang menghasut pembunuhannya, rumah Sheikh Ekrima Sabri di Baitulmuqaddis Timur telah diserbu ejen perisikan Israel hari ini.

Dalam serbuan tersebut, kerajaan haram Israel menyampaikan notis larangan perjalanan ke atas pendakwah yang juga ketua Majlis Tertinggi Islam itu.

“Sabri telah diserahkan perintah yang menghalangnya daripada melakukan perjalanan,” menurut peguam Sabri, Khaled Zabarka, lapor Agensi Anadolu.

Khaled memberitahu, pendakwah Masjid Al-Aqsa berkenaan menjadi sasaran kempen hasutan oleh kumpulan berhaluan kanan Israel.

“Rumahnya diserbu pada Ahad (3 Disember) dan ejen itu menyerahkan perintah roboh bangunan tempat beliau tinggal dan hari ini beliau dilarang melakukan perjalanan.

“Pencabulan terhadap pendakwah itu percubaan untuk menutup mulutnya yang dengan lantang menyuarakan kebenaran,” kata peguam itu.

Sabri, 85, salah seorang imam utama di Al-Aqsa dan telah menyampaikan khutbah Jumaat di sana sejak awal tahun 1970-an lagi.

Beliau pernah ditangkap beberapa kali oleh tentera Israel malah dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa selama beberapa bulan.

Pendakwah berkenaan dikenali merupakan pengkritik tegar penjajahan Israel selama beberapa dekad di wilayah Palestin.

Tokoh berkenaan sebelum ini pernah memegang jawatan mufti Baitulmaqdis dan wilayah Palestin dari 1994 hingga 2006.

Dalam hal berkaitan, tentera rejim Zionis Israel bertindak menyerbu bandar Kafr Aqab, utara Baitulmaqdis.

Sekurang-kurangnya 60 rakyat Palestin, termasuk bekas tahanan, telah ditahan dalam serbuan tentera Israel di Tebing Barat sejak malam tadi dan pagi ini.

Dalam satu kenyataan, Kelab Tahanan Palestin memaklumkan beberapa tangkapan tertumpu di kem Dheisheh di Bethlehem, manakala selebihnya di seluruh Tebing Barat yang diduduki.

Beberapa daripada mereka yang ditahan kemudiannya dibebaskan.

Sejak 7 Oktober, lebih 3,540 rakyat Palestin telah ditahan di Tebing Barat yang diduduki.

Tiada ulasan: