"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Makanan terlalu mahal, peniaga di Johor dikompaun RM1,500

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang peniaga makanan laut di Tepian Tebrau, Pasir Gudang dikompaun RM1,500 selepas tular menjual makanan terlalu mahal.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas pihaknya melengkapkan dua kertas siasatan terhadap peniaga berkenaan.

“Peniaga ini dikompaun atas kesalahan tidak meletakkan tanda harga dan terdapat unsur pencatutan, iaitu menjual makanan pada harga tidak munasabah.

“Peniaga terbabit dikenakan kompaun RM500 kerana tidak meletakkan tanda harga dan RM1,000 kerana pencatutan,” katanya menurut Sinar Harian selepas merasmikan Karnival Rahmah Kasih Sayang Bangsa Johor 2023 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang.

Oktober lalu, isteri kepada penyanyi Mawi, Ekin Rahmat mendakwa sebuah kedai di medan selera Tepian Tebrau mengenakan caj terlampau mahal, iaitu RM1,260.

Pemilik premis itu dalam video balas menjelaskan harga itu untuk hidangan 20 orang dan turut memperincikan butiran setiap hidangan dipesan Ekin sebagai justifikasi.

Fuziah berkata, kompaun itu bukan untuk menghukum peniaga sehingga menyebabkan perniagaannya ditutup, sebaliknya ia pengajaran supaya peniaga berniaga dengan telus dan pengguna perlu tahu harga produk atau makanan dibeli mereka.

Katanya, pengguna mempunyai hak tahu harga sebelum makan atau membuat pembelian.

Tiada ulasan: