"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

12 sekeluarga maut, rumah runtuh ketika tidur

BHarianonline 
Orang ramai yang terjejas banjir berjalan melepasi khemah sementara mereka di sepanjang tepi jalan selepas hujan monsun lebat di Hyderabad. - Foto AFP
Orang ramai yang terjejas banjir berjalan melepasi khemah sementara mereka di sepanjang tepi jalan selepas hujan monsun lebat di Hyderabad. - Foto AFP
PESHAWAR: Seramai 12 orang, termasuk seorang kanak-kanak maut apabila rumah didiami mereka musnah ditimbus tanah runtuh ekoran hujan lebat, hari ini.

Dalam kejadian di kawasan terpencil Patrak di daerah Upper Dir, wilayah Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan, semua mangsa maut ketika mereka sedang tidur dalam rumah berkenaan.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif mangsa yang maut akibat insiden berkaitan hujan sejak musim monsun bermula Julai lalu, meningkat kepada lebih 300 orang.

Jurucakap perkhidmatan penyelamat 112, Bilal Faizi, berkata kediaman itu musnah sepenuhnya akibat kejadian terbabit, menyebabkan 12 sekeluarga yang mendiami rumah berkenaan terkorban.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Pakistan berkata, ribut petir diramal berlaku sepanjang hari ini, selain hujan lebat di sebahagian besar kawasan di negara itu sejak semalam.

Pihak berkuasa bencana wilayah Sindh pula berkata, ribut siklon dijangka melanda pantai selatan, membawa hujan lebat dan kemungkinan banjir.

Berdasarkan angka rasmi, kebanyakan kes kematian berlaku di barat laut Khyber Pakhtunkhwa dan wilayah Punjab berdekatan.

Agensi pengurusan bencana Punjab dalam kenyataan berkata, kematian akibat petir, kejutan elektrik, dan runtuhan lumpur atau rumah usang.

Pada akhir Julai lalu, 11 sekeluarga maut di Khyber Pakhtunkhwa apabila ruang bawah tanah rumah mereka dibanjiri air hujan ketika sedang tidur.

Monsun musim panas membawa 70 hingga 80 peratus jumlah taburan hujan tahunan Asia Selatan, antara Jun hingga September, yang penting bagi mata pencarian jutaan petani di kawasan dengan populasi kira-kira dua bilion orang itu.

Namun, ia turut mengakibatkan kejadian tanah runtuh dan banjir, dengan saintis menyatakan perubahan iklim menyebabkan hujan bermusim menjadi lebih lebat dan tidak menentu.

Pakistan masih berusaha untuk pulih daripada banjir yang menenggelamkan hampir satu pertiga negara itu pada 2022, dan menjejaskan lebih 33 juta orang. - AFP

Tiada ulasan: