"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amaran dan peringatan sudah diberi: Kenapa masih sentuh 3R?

Zeanaaima Mohd Yusof

Orang ramai kesal kerana segelintir pihak seolah-olah tidak serik dan sengaja mencetuskan ketidakharmonian dalam negara dengan memainkan isu sensitif.

PETALING JAYA: Rakyat mempersoalkan mengapa masih ada segelintir pihak berterusan menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) walaupun berulang kali diberi amaran oleh kerajaan dan polis mengenai perkara itu.

Mereka melahirkan kekesalan kerana pihak terbabit seolah-olah tidak serik dan sengaja mencetuskan ketidakharmonian dalam negara dengan memainkan isu sensitif itu.

Penjawat awam, Muhd Firdaus Mohd Foad, berkata tidak pernah terdetik mahu bercakap soal 3R kerana sedar ia isu sensitif yang tiada manfaat untuk diperdebatkan terutama di media sosial.

Saya tak (akan sentuh isu 3R) sebab tahu akibat dan hukuman bakal dikenakan apabila disabitkan kesalahan. Pelik, sebab kita dah diberitahu sebelum ini oleh pemerintah dan polis (mengenai) isu 3R tapi masih ada yang berani, katanya kepada FMT.

Pekerja swasta, Amirul Faiz, berpandangan media tanpa sempadan hari ini mendorong rakyat mengulas isu 3R secara berlebihan sehingga mendatangkan perpecahan dalam masyarakat.

Katanya, pihak berkuasa perlu meningkatkan pemantauan di ‘zaman tular’ ini dan tapisan terhadap sesuatu kandungan mesti lebih ketat.

Isu 3R sekian lama berakar umbi dalam masyarakat, namun semakin membarah akibat penggunaan media sosial yang tidak terkawal dan bersifat tanpa sempadan dengan kebencian, persepsi serta sentimen berlebihan disebarkan sepantas kilat hanya melalui ‘hujung jari’.

Tak halang hak bersuara

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, mengakui pihaknya berdepan cabaran getir menangani isu 3R terutama melibatkan media sosial.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bukan mahu menghalang hak bersuara orang ramai namun mereka dinasihatkan mengawal diri daripada menyentuh isu sensitif itu.

Isu ini sudah lama, cuma dulu tiada internet. Sekarang lebih mencabar untuk kita pantau media sosial sebab ia sangat laju dan luas. Sesiapa sahaja boleh kongsi pandangan walaupun isu sensitif tanpa kawalan, katanya.

Beliau berkata, banyak usaha dilakukan untuk menanganinya seperti mewujudkan beberapa majlis perpaduan bagi memantau kenyataan berlebihan bersabit 3R, dan membangunkan sistem e-Sepakat untuk menjejak pernyataan sensitif secara meluas di internet.

Katanya, KPN juga membina ‘Dashboard Analitik Perpaduan’ untuk memantau kawasan berisiko tercetus perpecahan atau ketegangan sosial, mewujudkan mediator komuniti, Pusat Mediasi Komuniti dan Jawatankuasa Keharmonian antara Penganut Agama (Harmoni) selain memberi nasihat mengenai perpaduan.

KPN sedang memperkukuh sistem pemantauan bagi mengesan dan mengurus isu 3R dengan lebih berkesan memandangkan kes dilaporkan semakin meningkat, katanya.

Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menunjukkan dari 1 Dis 2023 hingga 21 Jun lalu sebanyak 459 kandungan berita palsu dikenal pasti manakala 446 kandungan berkaitan isu 3R (211 pemimpin, 180 etnik, 55 agama).

Aaron berkata, KPN juga memantau rapat isu 3R dengan mengesan 47 kes pada suku pertama dan 63 kes suku kedua tahun ini.

Kerajaan khususnya KPN akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan perpaduan dan keharmonian kaum, tapi rakyat juga harus memainkan peranan. Ini tanggungjawab bersama. Faham, terima dan hormat. Malaysia akan terus aman sejahtera, katanya.

Tiada ulasan: