Mohsin Abdullah
Lazimnya tiba Ogos kita disajikan pelbagai video yang menunjukkan rakyat berbilang bangsa dan agama cukup berharmoni. Semuanya indah belaka.
Orang Melayu tak makan babi tapi makan lembu. Orang Cina boleh makan babi. Orang India pula yang majoritinya beragama Hindu tak makan lembu. Kalau nak diikutkan nak duduk makan semeja pun rakyat Malaysia tidak boleh.
Tapi realitinya kita boleh. Kerana apabila makan bersama sajian yang dipesan ialah makanan yang boleh dinikmati semua, ertinya yang tidak boleh dimakan kita ketepikan. Sekurang-kurangnya buat seketika. Ada tolak ansur dan toleran.
Tolak ansur serta toleran yang dijadikan amalan dalam menjalani hidup sebagai rakyat Malaysia. Most of the time until now. Namun ada rasa tidak puas hati, kecewa malah marah tentang bermacam isu. Tidak boleh dinafikan bukan semuanya bagai fairy tale.
Beberapa hari lalu timbul komik yang bertujuan mengajar kanak kanak akan agama yang mereka anuti tetapi dilihat melukai dan juga menimbulkan kemarahan penganut agama lain. Sebelum ini timbul soal universiti yang dianggap dikhaskan kepada golongan Bumiputera diminta membuka pintu kepada pelajar bukan Bumiputera untuk pengajian tertentu. Serta merta dibantah ramai dalam kalangan Bumiputera (baca: Melayu) dan dijadikan isu ras walaupun baharu dicadang. Cadangan pun membabitkan satu jurusan.
Banyak lagi isu yang tidak membantu perpaduan rakyat. Jika hendak disenaraikan artikel ini akan berjela-jela. Cuma ingin menyebut satu isu yang potentially divisive yang timbul kebelakangan ini, membabitkan pendirian Malaysia terhadap konflik di Gaza.
Sejak dahulu dasar negara terhadap isu pembebasan Palestin jelas. Negara memang pro-Palestin dan anti-Israel kerana keganasan dan kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.
Tetapi baru-baru ini apabila kerajaan yang ada sekarang mengambil langkah pro-Palestin yang ketara, ada kalangan rakyat yang kurang senang. Mungkin mereka tidak suka akan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim. Bagi saya itu bukan masalahnya. Itu hak mereka nak suka atau nak benci sesiapa. Tetapi apabila sentimen anti-Anwar dikaitkan dengan sentimen anti-Palestin ini bagi saya agak menyedihkan.
Secara am yang tidak suka Malaysia berbaik dengan Hamas adalah kalangan bukan Melayu. Mereka senada dengan kebanyakan negara Barat yang melabel Hamas pertubuhan pengganas. Majoriti orang Melayu pula berpendapat berbeza. Hamas tidak dilihat sebagai pengganas. Bagi orang Melayu, rakyat Palestin wajib ditolong. Bagi beberapa orang lain, charity begins at home. Keadaan ini seperti disebut tadi berpotensi merenggangkan hubungan antara kaum, lantas membimbangkan.
Mujur ada aktivis seperti Tian Chua dan rakan-rakan yang pro-Palestin. Bukan mahu memuji tetapi pembabitannya dan rakan-rakan menunjukkan bukan semua orang bukan Melayu tidak suka rakyat Palestin dibantu. Hakikatnya ada golongan bukan Melayu yang berpendirian sama dengan orang Melayu.
Tetapi hakikatnya juga ada segelintir orang Melayu yang tidak suka kerajaan membantu Palestin. Berlebih-lebih untuk score political points, kata mereka.
Lazimnya tiba Ogos kita disajikan pelbagai video yang menunjukkan rakyat berbilang bangsa dan agama cukup berharmoni. Semuanya indah belaka. Tidak ada rasis, tidak ada religious extremism. Itu sekadar paparan indah dalam dunia video. Persoalannya bolehkah keindahan dan keharmonian yang dipamerkan menjadi reality? Mahukan kita mencapai apa yang dipaparkan?
Saya tutup dengan mengulangi apa yang disampaikan khutbah Jumaat semalam. Walaupun ia ditujukan kepada umat Islam yang datang ke masjid untuk mendirikan sembahyang, saya kira ada juga mesej yang sesuai untuk setiap rakyat walau apa agama dan bangsanya.
Khatib menyatakan nikmat kemerdekaan harus disyukuri dengan meningkatkan ketakwaan kepada Allah serta melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Ini sememangnya ditujukan kepada Muslim.
Seterusnya Khatib menyatakan pesanan yang bagi saya boleh dihayati oleh non-Muslim juga. Berbunyi begini:
“Malaysia merupakan bumi bertuah yang memiliki banyak keistimewaan. Maka pelihara sebaiknya dengan terus memelihara perpaduan dan toleransi dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Marilah kita gembleng seluruh daya dan tenaga dan usaha kita dan turut menyumbang kepada pembangunan negara dalam apa apa jua aspek demi kemakmuran dan kesejahteraan tanah air tercinta.
Not easy but not impossible.
Selamat Hari Kebangsaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan