NUR HUDA MUSA
KUANTAN – Seorang lelaki berusia 20-an maut akibat strok haba ketika mengikuti satu program larian di sekitar Telok Chempedak di sini kelmarin.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rusdi Abd Rahman berkata, mangsa memulakan larian pendakian ke Bukit Pelindung bermula pukul 6.40 pagi sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan laluan trek pejalan kaki hutan Bukit Pelindung pada pukul 3 petang.
“Mangsa kemudiannya terus dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut dan kemudiannya dimasukkan ke unit rawatan rapi.
“Keadaannya semakin tenat walaupun rawatan optima telah diberikan dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.39 malam semalam,”katanya di sini hari ini.
Menurut Rusdi, punca kematian mangsa yang berasal dari Kuantan itu adalah akibat strok haba dengan kegagalan pelbagai organ.
Dalam pada itu beliau berkata, kejadian tersebut adalah kes kematian kedua akibat strok haba pada tahun ini selepas seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam yang menjalani latihan di Maran pada 2 Februari lalu meninggal dunia akibat strok haba.
“Sehingga kini jumlah kes berkaitan cuaca panas yang dinotifikasi di Pahang pada 2024 adalah 18 kes yang mana 14 kes melibatkan kelesuan haba dan empat kes melibatkan strok haba dengan dua kematian,”katanya.
Sementara itu beliau memberitahu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu harian bagi negeri Pahang adalah dalam keadaan terkawal iaitu kurang daripada 35 darjah selsius.
Katanya berdasarkan laporan juga julat suhu pada hari kejadian adalah dalam lingkungan 24 hingga 33 darjah selsius. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan