"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis trafik ‘bergulung’, kereta ‘pancung’ lorong tiba-tiba

KOSMO!
Tangkap layar video kamera papan pemuka yang tular di media sosial hari ini.
PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu kereta cuba ‘memancung’ atau menukar lorong menyebabkan seorang anggota polis trafik mengalami kemalangan sehingga tercampak ke atas jalan raya.

Menerusi video kamera papan pemuka berdurasi 28 saat yang tular di media sosial, pada mulanya anggota polis trafik yang menunggang motosikal sedang berada di lorong paling kiri sekali.

Pada saat ke 23, kereta jenis Honda City berwarna kelabu dari arah kanan kelihatan terburu-buru ingin menukar lorong sehingga menyebabkan anggota polis itu tidak sempat berhenti lalu merempuh belakang kenderaan itu.

Kemalangan itu menyebabkan motosikal anggota polis itu berpusing beberapa kali sehingga dirinya tercampak ke atas jalan raya bersama barang-barang peribadinya.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku di Cheras namun keadaan sebenar anggota polis trafik itu tidak dapat dipastikan sehingga kini.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang menggesa agar pemandu sebegini yang disifatkan mementingkan diri diambil tindakan dengan segera agar kemalangan sama tidak berulang lagi.

“Tengok gaya macam dah biasa buat tapi mungkin selama ini terlepas. Kali ni memang kena buku dengan ruas,” komen Noni.

“Naya pak karim, sampai ‘bergulung’ polis trafik tu. Aku harap pemandu tu kena tindakan berat untuk golongan yang suka ‘pancung-pancung’ ni,” komen Aiman pula.

Dalam pada itu, seorang pengguna jalan raya tersebut mengakui kawasan itu merupakan ‘hot spot’ bagi pemandu untuk ‘memancung’ sesuka hati sehingga membahayakan orang lain.

“Ni kawasan Cheras ni. Lengkok ni memang banyak kereta main tukar lorong macam tu sahaja. Dah berapa kali ‘rider’ terkena macam polis trafik tu kena,” komen Rizal.

Sehingga kini video tersebut mendapat lebih 130,000 tontonan, 687 perkongsian semula dan 1,100 tanda suka. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: