Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
Rumah di mana seorang lelaki mengamuk menggunakan pisau dan mencederakan tiga rakan serumahnya, dua daripada mereka parah - Foto ihsan PDRM
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki cedera, dua daripadanya parah apabila rakan serumah mereka mengamuk menggunakan senjata tajam di sebuah rumah di Taman Muda, Pandan Indah di sini, semalam.
Kejadian dipercayai berpunca apabila suspek dikatakan berang ditegur kerana sering menimbulkan isu dengan keluarga.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, mangsa, kesemuanya lelaki masing-masing berusia 18, 28 dan 30 tahun mengalami pelbagai kecederaan dengan duanya daripadanya parah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata semasa kejadian, dua mangsa yang berusia 18 dan 28 tahun berada di ruang tamu rumah bersama suspek yang sedang memotong buah dengan pisau.
"Seterusnya, terjadi perselisihan faham dan berlaku pergelutan sehingga suspek mencederakan dua mangsa dengan menggunakan sebilah pisau dan batang kayu.
"Seorang lagi mangsa yang baharu sampai di rumah turut dicederakan oleh suspek. Kesemua mangsa dan suspek tinggal bersama di rumah itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, tiga mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Ampang dengan dua daripada masih menerima rawatan, manakala seorang lagi dirawat sebagai pesakit luar.
"Berikutan kejadian itu, suspek yang berusia 31 tahun dan tidak bekerja ditahan di kediaman terbabit pada jam 4 petang semalam.
"Pihak polis dengan dibantu pasukan Forensik Bukit Aman turut merampas sebilah pisau, dua batang kayu dan dua helai pakaian bagi membantu siasatan," katanya.
Tambahnya, hasil ujian air kencing terhadap suspek dapati negatif dadah.
"Hasil soal siasat mendapati punca kejadian adalah disebabkan suspek sering ditegur atas pelbagai sebab dan sering berselisih faham berkenaan hal keluarga.
"Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 4 September dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh orang.," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan