FMT Reporters
Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau tidak teragak-agak ambil tindakan mahkamah terhadap pihak cuba mengaitkannya dengan fitnah itu.
Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mashitah Ibrahim (dua dari kanan) berkata beliau sudah memberi keterangan di Bukit Aman. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mashitah Ibrahim membuat laporan polis dan memberi keterangan di Bukit Aman berhubung tuduhan mengaitkannya terbabit aktiviti sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Beliau yang menafikan terbabit aktiviti sedemikian menyifatkan maklumat itu dikutip media picisan Indonesia.
“Saya tidak akan teragak-agak ambil tindakan mahkamah terhadap pihak cuba mengaitkan saya dengan fitnah ini yang bertujuan menjatuhkan reputasi saya.
Terima kasih kepada kawan-kawan yang prihatin. Alhamdulillah saya kekal utuh berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terlibat mana-mana aktiviti yang bercanggah agama mahupun undang-undang Malaysia, katanya dalam catatan Facebook.
Semalam, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan penglibatan seorang ahli politik tempatan dengan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, dakwaan itu susulan tular satu video sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar yang diterbitkan di Indonesia mendakwa seorang ahli politik dan suaminya terlibat aktif dalam sindiket pemerdagangan manusia.
Menurutnya, individu itu dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan sejak 2020.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata polis mengambil keterangan pasangan suami isteri dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar itu pada Julai lalu selepas artikel pertama disiarkan.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan polis akan mencari saksi terbabit serta mendapatkan artikel dikeluarkan media Indonesia berkaitan kes berkenaan.
Buat masa ini, siasatan polis di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP), katanya menurut Harian Metro selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun dengan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Mohd Ali Tamby di Kota Bharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan