"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kegiatan seks bertukar pasangan, polis tahan 36 individu

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Penjawat awam dan pelajar institusi pengajian tinggi antara 36 yang dtahan kerana disyaki terbabit aktiviti persundalan seks bebas dengan bertukar pasangan atau 'swinger' yang dipromosi secara dalam talian.

Kesemua mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di ibu negara dan Puchong, Selangor pada Ahad dan Selasa lalu oleh Polis Diraja Malaysia bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus, berkata serbuan dijalankan susulan risikan yang dijalankan sejak Jun lalu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya, dua daripada 36 individu yang ditahan itu, dua daripadanya adalah pemilik laman sesawang 'Swing That Fun' yang dikesan mempromosi kegiatan persundalan secara dalam talian dan mampu meraih 147,000 pelanggan atau 'subscriber'.

"Melalui risikan yang dijalankan, kita dapati laman sesawang itu adalah platform mencari kenalan, berkongsi kandungan lucah, menyediakan perkhidmatan seks dan lain lain dengan pakej berbayar.

"Kita kemudian mengesan satu kumpulan yang menganjurkan aktiviti ini (seks bebas bertukar pasangan) dan telah mempromosikan aktiviti persundalan itu dan membentuk komuniti seks bebas bagi tujuan keseronokan dan meraih keuntungan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Hasil risikan itu, katanya dua operasi serbuan dijalankan dengan serbuan pertama dijalankan kira-kira jam 8.30 malam Ahad lalu, bersama pihak JAWI di sebuah kondominium di Mont Kiara, Sentul di sini.

"Kita telah menahan sekumpulan individu yang dinamakan sebagai 'Pet GB (Pet Gang Bang) dan dalam serbuan itu, seramai 34 orang ditangkap membabitkan warganegara tempatan dan asing.

"Mereka terdiri daripada 18 wanita dan 11 lelaki tempatan, serta lima warga asing terdiri daripada masing-masing satu lelaki warga Perancis, China, Nigeria, Republik Czech dan seorang wanita warga Filipina. Semua yang ditahan berusia antara 19 hingga 41 tahun,"katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati antara warga tempatan yang ditahan ini ada yang terdiri daripada pelajar pusat pengajian tinggi, penjawat awam serta pekerja syarikat swasta.

"Semakan turut mendapati dua daripadanya mempunyai rekod jenayah atas kesalahan mencuri, mencederakan orang tanpa senjata dan ugutan jenayah," katanya.

Dalam operasi kedua pada jam 2.15 petang Selasa lalu, katanya polis menyerbu sebuah kondominium di Puchong, Selangor dan menahan dua lelaki, masing-masing seorang warga Singapura dan warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai pemilik laman sesawang, penganjur aktiviti persundalan dan juga pemilik akaun bank keldai yang menerima bayaran daripada pelanggan.

"Kita turut membuat rampasan antaranya sejumlah wang tunai, peralatan komputer, telefon bimbit serta peralatan seks.

"Modus operandi kumpulan ini ialah dengan berselindung di sebalik laman sesawang itu yang menawarkan khidmat mencari kenalan dan mencari keuntungan.

"Kita dapati setakat ini, pelanggan mereka melalui akaun keldai yang diwujudkan ini telah mengumpul 147,000 ahli (pelanggan), dan kebanyakannya adalah rakyat Malaysia. Ini yang cukup membimbangkan kita," katanya.

Fadil berkata pembayaran untuk langganan akaun dibuat melalui kaedah pembayaran dalam talian ke satu akaun bank milik satu lelaki tempatan dipercayai akaun keldai.

"Untuk menjadi ahli, subscriber perlu membayar RM388, dan untuk membentuk komuniti melakukan aktiviti seks bebas dikenakan yuran penyertaan RM400 seorang.

"Bayaran sebanyak RM350 pula akan dikenakan kepada ahli yang mahu menyertai aktiviti bersama pasangan, dan mereka bersama-sama bole menyertai aktiviti 'swing' (bertukar pasangan seks)," katanya.

Bagaimanapun, katanya setiap peserta yang mahu menyertai aktiviti itu, penganjur akan 'menapis' peserta melalui satu temuduga melalui panggilan video.

Dalam pada itu, katanya siasatan mendapati penganjur akan kerap menukar lokasi aktiviti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, penduduk setempat dan pihak pengurusan kondominium.

"Aktiviti akan dimaklumkan sehari sebelum tarikh ditetapkan dan penganjur akan menyediakan tentatif kepada peserta seperti sesi suai kenal seterusnya menjalankan aktiviti seks secara berkumpulan dalam tiga bilik berasingan," katanya.

Menurut Fadil, kesemua tangkapan ditahan reman dengan pertuduhan dicadangkan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan iaitu mempromosi, mengiklankan, menerbitkan dan menawarkan khidmat persundalan serta Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu memberi orang lain menggunakan akaun bank.

Selain itu, Seksyen 377D Kanun Keseksaan (melanggar kesopanan dan perbuatan kelucahan melampau), Seksyen 377A Kanun Keseksaan (melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie) dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan (memiliki bahan lucah).

Fadil berkata pada masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan kerana pihaknya percaya kegiatan ini mempunyai banyak cabang yang masih aktif melalui pelbagai platform media sosial serta laman sesawang.

Tiada ulasan: