TUAN NURHIDAYAH TUAN AB.GHANI
KUALA LUMPUR – Pasukan operasi mencari dan penyelamat (SAR) mendapati botol mengambil masa lebih kurang empat jam untuk sampai ke ‘end point’ iaitu loji kumbahan Pantai Dalam dari lokasi tanah jerlus di Masjid India, di sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, botol yang dilepaskan dari lokasi kejadian akan melalui ‘chamber’ yang dianggarkan 5.3 hingga 6 kilometer (km) ke Pantai Dalam.
“Usaha-usaha (pencarian) masih diteruskan dan kita berbincang apalagi usaha untuk terus mencari mangsa warga India, berusia 48 tahun ini.
“Kalau ikutkan ‘chamber’ aliran air ini lebih kurang 5.3 hingga 6 km sampai ke Pantai Dalam.
“Semua usaha telah dicuba oleh pasukan. Pasukan telah cuba letakkan botol dan tengok berapa lama boleh sampai ke Pantai Dalam (loji), lebih kurang empat jam,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian.
Menurut Razarudin, lebih kurang 117 anggota terdiri daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi dan hari ini turut dibantu Agensi Nuklear Malaysia.
“Agensi Nuklear datang untuk ‘scan’ keadaan sekeliling macam mana.
“Pelbagai inisiatif kita lakukan (peralatan dan lain-lain) malam, pagi kerana air dalam ‘chamber’ laju jadi penggunaan kumbahan ini pada siang memang penuh.
“Selalunya pukul 12 tengah malam sampai 6 pagi, usaha memasukkan kamera untuk mencari mangsa yang kemungkinan tersangkut dimana-mana chamber,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai keselamatan, beliau difahamkan pihak Dewan Bandaraya Kuala (DBKL) bahawa pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan ujian di lokasi sekitar.
“Insya-Allah kita doa sama-sama agar pencarian ini diselesaikan dalam masa terdekat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan