Melvin Joni
bhnews@bh.com.my
Pasukan SAR melakukan pencarian jasad mangsa yang disyaki tertimbus di dalam Gunung Tabai, di sini ketika melombong emas. - Foto NSTP/ MELVIN JONI
BAU: Polis menafikan dakwaan mayat lelaki warga Indonesia yang dikatakan tertimbus ketika melombong emas di Gunung Tabau, di sini, sudah ditemui.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Jawai Francis turut menafikan berita kononnya mayat mangsa yang ditemui akan dibawa keluar dari kawasan gunung terbabit esok.
"Tidak ada mayat sebab kami belum jumpa jasadnya," katanya.
Terdahulu, pihak polis menerima panggilan daripada pejabat Konsulat Indonesia di Kuching kira-kira jam 5.23 petang 23 Ogos lalu, memaklumkan seorang warga Indonesia dipercayai hilang di Gunung Tabai pada 13 Ogos.
Susulan itu, operasi SAR dimulakan membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau bersama-sama pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), namun gagal mengesan mangsa.
Mengulas lanjut, Jawai berkata kesahihan mengenai kehilangan lelaki warga Indonesia itu belum dipastikan dan saksi iaitu rakan mangsa juga dipercayai sudah balik ke Indonesia.
"Kami sudah mengarahkan Konsulat Indonesia di Kuching untuk cuba mengesan saksi terbabit tetapi setakat ini masih gagal," katanya.
Gunung Tabai adalah kawasan larangan kerana sering menjadi tumpuan pelombong emas haram sehingga meragut beberapa nyawa akibat tertimbus runtuhan tanah dan batu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan