"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'PAS berisiko pecah jika sertai kerajaan perpaduan'

N Faizal Ghazali

Penganalisis politik berpendapat sekiranya PAS menyertai kerajaan perpaduan parti itu berisiko berdepan perpecahan dan kehilangan sokongan besar pengundi tradisi mereka.

Pensyarah sains politik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSza) Hussain Yusri Zawawi berkata dalam konteks semasa langkah tersebut adalah tidak rasional bagi PAS menyertai kerajaan diterajui PH dan BN, lebih-lebih jika ia meninggalkan PN.

Malah menurutnya jika keputusan untuk menyertai kerajaan perpaduan yang turut melibatkan DAP atau parti-parti lain yang tidak selari dengan ideologi PAS ia akan dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan.

"Sejarah politik PAS menunjukkan bahawa penyokong parti ini sangat sensitif terhadap sebarang bentuk kompromi yang dianggap melemahkan prinsip-prinsip Islam.

"Sebagai contoh, penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu telah menyebabkan beberapa ketegangan dalaman parti, terutama apabila PAS dilihat terpaksa berkompromi dengan DAP dalam isu-isu penting.

"Meskipun akhirnya Pakatan Rakyat berpecah, pengalaman tersebut menjadi satu pengajaran bagi PAS tentang risiko menyertai gabungan yang terlalu berbeza dari segi ideologi.

"Dalam konteks ini, menyertai kerajaan perpaduan boleh menyebabkan PAS kehilangan sokongan daripada sebahagian besar pengundi tradisi mereka.

“Ini bukan sahaja akan menjejaskan kedudukan politik PAS, tetapi juga boleh menyebabkan perpecahan dalaman dalam parti, akhirnya merugikan PAS untuk jangka masa panjang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin yang mengakui terdapat usaha daripada pihak tertentu mempelawa parti mereka bersama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, perkara itu juga ada dibangkitkan pada Majlis Syura Ulama PAS, namun secara sepintas lalu dan belum ada sebarang keputusan muktamad.

Menurut Hashim, perkara itu akan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

Untuk rekod, PAS juga mengalami perpecahan selepas meninggalkan Pakatan Rakyat dan berlarutan dengan beberapa isu menyebabkan sebahagian pemimpin utamanya keluar daripada parti itu yang kini membentuk Amanah.

Hussain Yusri menyifatkan faktor keberadaan DAP dalam kerajaan perpaduan menjadi penghalang utama untuk PAS menjadi sebahagian parti kerajaan.

Katanya, PAS sering kali menyuarakan kebimbangan terhadap dasar-dasar dan pendirian DAP yang dianggap tidak selari dengan perjuangan mereka.

"Ketegangan antara kedua-dua parti ini telah berlarutan selama bertahun-tahun dan telah menjadi salah satu sebab utama kenapa PAS memilih untuk tidak lagi bersama dalam gabungan yang melibatkan DAP.

"Oleh itu secara prinsip, adalah mustahil bagi PAS untuk menyertai kerajaan perpaduan yang melibatkan DAP," jelasnya.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia, Nur Ayuni Mohd Isa, pula berpendapat lebih baik PAS kekal sebagai pembangkang sehingga PRU ke-16 nanti.

Dalam konteks semasa, jelasnya, PAS lebih signifikan memainkan peranan utama sebagai pembangkang dalam proses semak dan imbang serta berfungsi untuk mengehadkan kuasa majoriti daripada bertindak tanpa mengambil kira pandangan atau kepentingan pihak lain.

"Tujuannya antara lain adalah bagi memastikan suara pembangkang didengari dalam proses penggubalan undang-undang.

"PAS dan PN dapat membantu meningkatkan kualiti pembuat keputusan serta mencegah tingkah laku yang mungkin mengancam integriti dalam pentadbiran," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Ayuni, PAS sudah tujuh kali terlibat dalam kerjasama politik dengan pelbagai latar belakang parti politik.

Katanya, walaupun tidak mustahil bagi PAS untuk membuat kerjasama politik yang baru, keadaan sekarang agak berat untuk PAS mengabaikan kerjasama dengan Bersatu dan Gerakan dalam PN.

"Lagipun parti-parti yang ada dalam kerajaan perpaduan kini semuanya pernah bekerjasama dengan PAS.

“Tetapi PAS sebuah parti yang tidak akan tinggalkan kerjasama politik tanpa sebab yang kukuh," katanya.

Tiada ulasan: