BHarianonline
Kaesang Pangarep (kiri) dan isteri, Erina Gudono. - Foto AGENSI
JAKARTA: Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia berkata agensi itu akan meminta penjelasan berhubung gaya hidup dan barangan mewah milik anak serta menantu Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).
Timbalan Ketua KPK, Alexander Marwata, berkata walaupun Kaesang Pangarep adalah anak kepada Jokowi dan Erina Gudono pula menantu Jokowi, mereka mesti dilayan sama rata di sisi undang-undang, lapor Tempo.Co.
"Biarpun Kaesang adalah ahli keluarga pentadbir negara, kami menjunjung prinsip persamaan di hadapan undang-undang," kata Alexander dalam satu sidang media di KPK di Jakarta.
Kaesang, anak bongsu Jokowi, dan isterinya berdepan kecaman warga maya kerana mempamerkan percutian mewah mereka di Amerika Syarikat (AS), ketika satu siri protes membantah rancangan mengubah Undang-Undang Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) diadakan negara itu.
Perubahan yang cuba dilaksana itu bertujuan membolehkan Kaesang bertanding bagi jawatan gabenor dalam pilihan raya daerah.
Kebanyakan warga maya turut mendakwa Kaesang dan Erina menyewa jet peribadi untuk kunjungan mereka ke AS.
Ketika di AS, Erina sekali lagi mencetuskan kritikan apabila mempamerkan gaya hidup mewah dengan menikmati roti berharga 400,000 rupiah (RM112) di Grand Central Market di Los Angeles, selain berbelanja mewah membeli barangan keperluan bayi bersama kakaknya.
Menjawab mengenai perkara itu, Alexander berkata KPK telah mengarahkan Pengarah Suapan dan Pengarah Pengisytiharan Aset Rasmi Awam meminta penjelasan daripada anak presiden itu.
Kaesang dan Erina didakwa menaiki jet peribadi bernilai berbilion rupiah dan membeli barangan mewah dari Hermes, Louis Vuitton, dan Dior tanpa pemeriksaan di Kastam dan Eksais Indonesia.
Hasil 'siasatan' warga maya mendapati tingkap jet itu sepadan dengan jet peribadi Gulfstream G650, malah data penerbangan juga mengesahkan ketibaan mereka di Washington ketika bantahan sedang memuncak di Jakarta.
Kadar sewa jet peribadi itu turut didedahkan warga maya dengan perjalanan sehala dianggarkan sekitar 4 bilion rupiah (RM1.1 juta) sekali gus mengundang kecaman pengguna media sosial kerana pasangan itu didakwa berbelanja secara berlebihan
Alexander berkata KPK mengarahkan kedua-dua direktorat meminta penjelasan daripada Kaesang untuk menjalankan tugas dan menjawab keraguan orang ramai.
"Isu ini mendapat perhatian umum dan menjadi kebimbangan orang ramai, jadi kita mesti proaktif," katanya.
Menurut beliau lagi, rakyat Indonesia perlu tahu sama ada Kaesang menaiki jet peribadi itu dengan wang sendiri atau dihadiahkan, kerana kedudukan bapanya sebagai ketua negara.
"Jika beliau menggunakan wang sendiri, maka tiada masalah. 'Ini duit saya sendiri, Tuan', itu sahaja. Itu yang dia mesti jelaskan," katanya.
Dalam video yang tular di media sosial, Kaesang dan Erina dilihat memuatkan barangan mereka terus ke dalam kereta tanpa menjalani pelepasan kastam.
Pengarah Perhubungan Awam Kastam, Nirwala Dwi Heryanto, berkata institusi itu sedang menyiasat kesahihan video terbabit dan status penerbangan itu. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan