"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Kekalkan Kemenangan Untuk Rakyat'

Johari Jaafar 
BUKIT GANTANG, 22 Mac (Hrkh)
- 'Kekalkan Kemenangan Untuk Rakyat' merupakan tema kempen PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, bagi merealisasikan kemenangan tersebut tiga pendekatan akan digunapakai oleh PAS dalam usaha mencapai kemenangan, sekaligus mempertahan kerusi Parlimen Bukit Gantang di tangan Pakatan Rakyat

"Kita gunakan kaedah 3M, iaitu menerang, mendamping dan menawan,"

Demikian dijelaskan oleh Pengarah Operasi Jentera Pilihan raya PAS Parlimen Bukit Gantang, yang juga Pengerusi Jabatan Pilihan raya PAS Negeri Perak, Asmuni Awi dalam sidang media di Markaz PAS Negeri di Air Kuning, Taiping semalam.

Menurutnya melalui kaedah ini PAS akan menerangkan pelbagai isu termasuk isu yang diputarbelitkan BN disamping mendampingi pengundi-pengundi dengan bijaksana, sekaligus menawan hati para pengundi di kawasan ini untuk memilih calon PAS.

Beliau percaya kaedah yang akan digunakan itu mampu merealisasikan harapan Pakatan Rakyat untuk mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang di tangan PAS.

Beliau turut mengumumkan pengisyitiraan calon akan dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang pada hari isnin ini (23 Mac) dalam satu ceramah perdana yang akan diadakan di Padang Taman Kota Jaya.

"PAS telahpun mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Taiping untuk menggunakan tempat berkenaan, dan kita sedang memohon permit daripada pihak polis," ujarnya.

PAS Perak kanya, akan menerima siapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang pada pilihan raya kecil yang akan diadakan 7 April ini.

"Sentimen anak tempatan tidak menjadi isu kerana PAS percaya pengundi kini telah matang untuk memilih calon anggota Parlimen berdasarkan kepada kemampuan dan kebolehan bekerja, " katanya.

"Anak tempatan bukan menjadi faktor kerana para pengundi kini sudah matang," katanya ketika ditanya sama ada PAS akan mengutamakan anak tempatan sebagai calon.

Barisan Nasional (BN) telah menamakan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang, Ismail Saffian sebagai calon anak tempatan selepas mendapati faktor calon luar pada pilihan raya umum lepas menjadi antara punca kekalahan.

PAS akan mensasarkan sokongan daripada pengundi semua kaum sejajar dengan tema PAS bagi menghadapi pilihan raya kecil berkenaan iaitu " kekalkan kemenangan untuk rakyat".

Di sidang media itu juga beliau memnberitahu PAS telah membuat sebanyak 10 aduan polis sejak 13 Mac lepas berkaitan perbuatan merosakkan dan membakar bendera dan poster parti itu serta penyebaran risalah berbau perkauman dan berunsur sabotaj.

Antara risalah yang diedarkan oleh pihak tertentu yang dipercayai bertujuan mensabotaj PAS ialah risalah bergambar karikatur Sultan Perak dan Mufti Perak serta risalah yang mendakwa Pakatan Rakyat berhasrat membuat persempadanan semula bagi memastikan kerusi majoriti Cina sama banyak dengan Melayu.

"Kita telah membuat laporan dan meminta polis membuat siasatan.kita kesal dengan taktik seperti ini malah PAS turut digambarkan sebagai zionis," katanya.

Penamaan calon akan diadakan pada 29 Mac ini dan pengundian pada 7 April bagi mengisi kekosongan kerusi berikutan kematian penyandang Roslan Shahrom daripada PAS pada 8 Februari lalu.

Roslan mengalahkan Bendahari Umno, Dato' Seri Abdul Azim Zabidi dengan majoriti 1,566 pada pilihan raya umum tahun lalu.

Seorang lagi calon bebas M. Mogan hilang wang pertaruhan dengan hanya 882 undi.t Gantang, katanya.

Tiada ulasan: