"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penghakiman kes Speaker Dun Perak, mahkamah salah masuk?

Tarmizi Mohd Jam  

KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - Dalam membuat keputusan yang menghukumkan Speaker V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa menggantung Dato Dr Zambry Abdul Kadir, Mahkamah Persekutuan mengambil sikap yang berbeza dengan keputusan mahkamah sebelum ini yang mengambil kira kedudukan Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kata Prof. Dr Abdul Aziz Bari ketika ditanya mengenai permohonan 10 perintah yang belum kesemuanya dikeluarkan. Perkara 72(1), kata Aziz, jelas memberi imuniti kepada prosiding dewan.

"Oleh kerana Tan Sri Alauddin Sheriff masih belum memberikan penghakiman bertulis, sebenarnya kita masih kabur. Tetapi ini mungkin dibangkitkan oleh peguam Sivakumar dalam prosiding di mahkamah berkenaan," katanya lagi.

Apa pun, kata pakar perlembagaan itu, keputusan mahkamah dalam kes-kes terdahulu seperti Lim Cho Hock (1979), Tun Datu Haji Mustapha (1986) dan Haji Salleh bin Jafarudin (1986) menjunjung peruntukan dan semangat Perkara 72(1) yang tidak membenarkan mahkamah menyentuh perjalanan dewan.

"Ini menyebabkan ramai yang terpinga-pinga dengan keputusan mahkamah berkenaan, sebab itu jelas menyalahi sesuatu yang telah termaktub dan diamalkan," kata beliau.

Aziz juga menimbulkan persoalan tentang kedudukan perintah-perintah yang dipohon itu di sisi undang-undang. Katanya mahkamah tidak boleh mempersoalkan kewajaran tindakan badan perundangan.

"Sebab itu mahkamah enggan membincangkan soal apakah sesuatu undang-undang itu adil atau sebaliknya", tambahnya.

Beliau berkata mahkamah, dalam melakukan semakan kehakiman, selalunya menangani soal bidang kuasa.

"Selagi sesuatu undang-undang itu masih di dalam bidang kuasa dewan berkenaan maka mahkamah akan melaksanakan undang-undang itu biar bagaimana tidak adil sekalipun", katanya.

Perintah-perintah seperti injuksi dan seumpamanya selalunya dikeluarkan ke atas badan-badan atau agensi yang diwujudkan oleh badan perundangan, baik parlimen maupun DUN.

"Jadi saya berasa musykil bagaimana peguam berkenaan boleh memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah ke atas speaker yang merupakan sebahagian daripada dewan", tambah Aziz.

Beliau berkata perintah juga boleh dikeluarkan ke atas menteri tetapi tidak ke atas kabinet yang merupakan badan eksekutif.

"Jadi keputusan Mahkamah Persekutuan di Perak ini amat ganjil kerana ia tidak selaras dengan peruntukan perlembagaan dan amalan yang telah berjalan selama ini".

Aziz juga menimbulkan sikap salah seorang hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin yang bersetuju dengan Tan Sri Alauddin Sheriff. Kata Aziz ini tidak konsisten kerana di dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (2006) Zulkefli tidak memberi perhatian kepada soal prosedur yang dibangkitkan oleh Anwar dalam pemecatannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

"Dalam kes saman Anwar ke atas Mahathir itu Zulkefli merujuk kepada kuasa mutlak Perdana Menteri. Sepatutnya dalam kes Sivakumar ini Zulkefli harus mengambil pendekatan yang sama dan menentang keputusan Alauddin dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang lain," katanya.

Aziz berkata kes-kes perlembagaan perlu ditangani dengan prioriti yang betul; soal prosedur harus tidak menjadi halangan kepada isu pokok.

"Prosedur dan isu teknikal bertujuan membantu dan meregulisasi bukan menafikan hak," tegasnya lagi.

Tiada ulasan: