"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak perlu ucap terima kasih pada kerajaan BN

Mohd Sabri Said  

PERMATANG PAUH, 10 Mei (Hrkh) - Rakyat tidak perlu ucap terima kasih pada Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana membebaskan 13 orang lagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka dizalimi sejak hari pertama ditahan sehingga memakan masa bertahun-tahun di Kem Tahanan Kemunting, Perak.

Jiwaraga mereka terseksa, anak pinak dan isteri menderita malah lebih malang lagi ada yang daif apabila mata pencarian keluarga terhalang disebabkan tangkapan suami.

"Rakyat usah berterima kasih pada BN semata-mata melepaskan 13 tahanan ISA beberapa hari lepas. Ia bukan tindakan hasil kesedaran kerajaan tetapi kerana terpaksa ekoran desakan rakyat yang tidak pernah merasai jemu," jelas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub ketika ditemui selepas berucap di program 'Jom Sertai PAS' anjuran PAS Cawangan Taman Guar Perahu semalam.

Menurut beliau lagi, tindakan pelepasan tahanan ISA itu dibuat secara tergesa-gera kerana BN mahu menutup kes pencabulan kuasa Speaker di Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang menyaksikan lunturnya demokrasi dan peraturan dewan yang selama ini disanjung.

Maka, sebab itu rakyat jangan terpedaya dengan sikap tidak bertanggungjawab BN yang telah menzalimi bukan sahaja mangsa yang tidak dihakimi malahan juga orang ramai yang tiada kena mengena dengan akta berkenaan.

"Tindakan BN itu bukan kerana menghormati demokrasi tetapi kerana nak tutup kes pencabulan di Dun Perak maka dilepasnya 13 tahanan ISA dengan harapan rakyat lebih cenderong membincangkan topik pembebasan daripada mengusung Speaker Dun Perak, Sivakumar keluar dewan untuk memberi laluan kepada Speaker baru melaksanakan tugas," tambahnya.

Sewajarnya jika Malaysia sebuah negara yang tamadun, bebas bersuara dan tidak mengamalkan demokrasi rimba kerajaan harus membebaskan ke semua tahanan ISA yang sampai kini tidak tahu apa kesalahan mereka sehingga ditangkap dan dikurung.

PAS berharap Kerajaan BN jangan lagi menggunakan akta tersebut untuk kepentingan mereka apabila merasai kuasa yang ada tidak lagi stabil.

Sementara itu, Setiausaha PAS Cawangan Taman Guar Perahu, Wan Johari Wan Abdullah berkata, program Jom Sertai PAS dirancang untuk menarik seramai mungkin penduduk mendekati PAS menjelang pilihan raya umum depan.

Memandangkan Unit Peti Undi (UPU) ini merupakan kubu kuat Umno dan BN, PAS akan memperkasakan program terutamanya golongan muda supaya mereka memahami dan mendekati perjuangan Islam.

Ketua Pemuda PAS Cawangan Taman Guar Perahu, Mohd Yunus Zakaria menegaskan, walaupun sambutan pada program 'Jom Sertai PAS' yang diadakan di padang awam taman berkenaan agak muram namun ia tidak mematahkan semangat urusetia meneruskan aktiviti kemasyarakatan.

"Kita akan lakukan yang terbaik pada masa depan demi memastikan perjuangan yang dicintai tersebar luas dan diminati ramai," katanya.

Antara kepimpinan yang hadir sama dalam program semalam ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah, Ketua Angkatan Muda Pemuda Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Shamsul Iskandar Mohd Akin dan calon Pakatan Rakyat Penanti, Dr Mansor Othman. 

Tiada ulasan: