"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Angkara panglima besar

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mendakwa kes-kes lompat parti membabitkan pemimpin dan ahli PKR didalangi individu yang dilabelkan ‘panglima-panglima besar’ UMNO.

Katanya, tindakan golongan tersebut adalah strategi dan taktik kotor parti itu untuk mempengaruhi pemimpin Pakatan Rakyat (PR) setelah gagal menjawab isu-isu semasa dan mengatasi masalah rakyat.

“Sukar untuk saya tidak mempercayainya seperti apa yang berlaku di negeri Kedah dan Perak kerana perkara ini melibatkan puluhan juta ringgit,” katanya di lobi Parlimen, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, perkara itu jelas setelah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa bukti perkara itu dalam perbahasan Dewan Rakyat sesi lalu.

Ketika ditanya, siapa individu yang dimaksudkan sebagai panglima besar itu, Azmin enggan mendedahkannya dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian.

“Perkara ini berlaku apabila Exco Kerajaan Kedah yang dibawa untuk bertemu dengan pemimpin UMNO yang cuba disogok dengan jumlah wang yang besar.

“Malahan, kejadian tersebut telah dirakamkan dan diserahkan kepada pihak berwajib namun, sehingga kini masih tiada tindakan terhadap pemimpin UMNO yang terlibat,”katanya.

Mengenai tindakan Bendahari PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Halili Rahmat yang mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO semalam, Azmin mempersoalkan tindakan tersebut yang dilakukan menjelang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

“Kami harus menerima keputusannya dan terpulang kepada beliau untuk memilih parti yang akan disertai.

“Kami telah memberi peluang kepadanya untuk bertanding atas tiket Keadilan pada tahun 1999 namun, gagal dalam pilihanraya itu,” katanya.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mengakui, tindakan keluar parti oleh beberapa pemimpin PR kebelakangan ini didalangi oleh pihak tertentu.

“Tindakan keluar parti ini berlaku hampir dengan perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. Pasti ada dalang di sebalik ini semua,” katanya.

-SinarHarian-

Tiada ulasan: