"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apabila Yahudi Israel sudah masuk ke rumah kita

Dinsman

Pertama-tamanya saya memohon maaf kepada para pembaca kerana telah beberapa kali tidak muncul di ruangan ini. Ada yang menelefon saya dan ada yang menghantar SMS bertanya kenapa. Jawapannya, kerana kurang sihat dan ada ketikanya agak sibuk dengan beberapa urusan, hingga tidak sempat menulis.

Lalu ada beberapa pembaca yang langsung mencadangkan saya supaya menulis mengenai isu kehadiran perisik Israel dalam sistem komunikasi Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) yang kononnya untuk menaiktarafkan sistem tersebut; dan dalam masa sama juga kehadiran agen Israel (melalui APCO Worldwide) di Jabatan Perdana Menteri, konon untuk memeperbaiki imej pentadbiran Perdana Menteri Najib, dengan antara lain melahirkan konsep 1Malaysia, dan sebagainya

Kata saya, suratkhabar Harakah pun sudah terlalu banyak mendedahkan perkara tersebut. Tak perlulah saya pun nak menulis lagi perkara itu. Tapi dia berhujah dengan mengatakan itu saja tidak mencukupi.

“Ini perkara besar,” katanya. “Sama besar dengan isu ISA, PPSMI dan ‘Bersih’. Malah lebih besar lagi, kerana ia melibatkan keselamatan negara. Kalau isu-isu Bersih, PPSMI dan ISA kita boleh turun ke jalan raya, isu ini juga kita mesti turun ke jalan raya.”

“Sdr cadangkan perkara ini dalam kolum sdr,” katanya lagi.

Manakala pembaca yang lain pula mencadangkan agar saya menggesa pihak Pakatan Rakyat supaya menggunakan isu ini secara besar-besaran dan habis-habisan dalam kempen pilihan raya kecil di Hulu Selangor.

“Kerajaan Umno-BN pimpinan Najib sekarang sudah terlalu desparate, terdesak sangat, hingga sanggup buat apa saja demi untuk kekal berkuasa. Sanggup meminta bantuan Yahudi yang menjadi musuh Islam sepanjang zaman itu. Mereka dah tak peduli apa pun, asalkan boleh terus berkuasa. Itulah dia wajah Umno-BN sekarang. Betapa buruk dan busuknya.” Luah seorang pembaca di telefon.

Memang. Isu kehadiran agen Israel itu satu isu besar. Selama ini kita hanya mendengar konflik Islam-Israel ini berlaku di Timur Tengah, di Palestin, di Lubnan. Terasa jauh nun di sana. Tidak terasa seperti ia adalah juga masalah kita, yang dekat dengan kita. Nah, sekarang ia sudah masuk ke dalam rumahtangga kita. Cuma dalam bentuk yang berbeza. Ia hadir untuk memberi ‘bantuan’ kepada kita. (Ah, ah, ah…) Kononnya.

Tetapi demikianlah liciknya dan licinnya Yahudi Israel itu, yang didokongi juga oleh Amerika-Eropah. Mereka boleh menghadirkan (menjelma) diri mereka dalam pelbagai rupa dan bentuk. Boleh menjadi musuh dan boleh menjadi kawan. Boleh menjadi makhluk jahat yang tak berhati perut langsung, dan boleh juga menjadi manusia cerdik yang pakar dalam bidang-bidang tertentu dan bersedia untuk ‘membantu’ manusia lain.

Sekarang mereka sudahpun masuk ke dalam pusat pentadbiran dan ke dalam sistem keselamatan negara kita. Syukur alhamdulillah ada pihak yang menyedarinya, walaupun akan terpaksa berhadapan dan ‘berperang’ dengan pihak rasmi kerajaan Persekutuan kita. Nah, apakah yang perlu kita buat sekarang?

Memang ini bukan satu perkara kecil, dan bukan satu masalah kecil. Ini satu perkara besar, dan satu masalah besar. Saya pun seperti takut hendak memikirkannya. Sebab apa? Sebab kita sepatutnya telah belajar daripada pengalaman saudara-saudara kita di Palestin dan di negara-negara Arab. Fikirkanlah dan renungkanlah apa yang selama ini berlaku di sana? Bergaduh dan berperang sesama sendiri tak habis-habis; menjadi alat permainan Yahudi Israel dan konco-konconya Amerika dan Eropah.

Inilah nasib umat Islam hari ini! Betapapun kita hendak berbangga bahawa Islam itu “ya’lu wala yu’la ‘alaih” (Islam itu di atas dan tidak ada yang mengatasinya), dan Islam itu agama yang benar yang akan mendapat pertolongan Allah; namun hakikat keadaan realitinya dalam kehidupan hari ini – inilah dia. Jangan kita menafikannya, atau buat-buat tak faham!

Saya telahpun mengolahkan perkara dan persoalan ini dalam karya teater saya yang telah dipentaskan pada Jun 2006, di Stor Teater DBP, bertajuk “Tamu Dari Medan Perang”. Tujuan teater itu antara lain untuk menimbulkan kesedaraan di kalangan pihak-pihak tertentu dalam masyarakat kita, terhadap hakikat realiti keadaan umat Islam yang sedang diperangi dan dikalahkan serta diperkotak-katikkan oleh kuasa Amerika dan sekutunya di dunia hari ini.

Pernah saya bercadang untuk membawa pementasan itu ke banyak tempat di seluruh negara (seperti yang sedang saya lakukan dengan teater Menunggu Kata Dari Tuhan sekarang. Dan jangan lupa, 17 April di surau an-Nur, Bandar Baru Bangi), tetapi gagal melakukannya kerana tidak mendapat sokongan dari mana-mana pihak.

Biar saya petik satu dialog dari teater itu, yang diucapkan oleh watak Queen, seorang wanita pejuang Islam yang hidup bersama-sama pelarian Palestin, dan datang ke Asia Tenggara dalam rangka kempen perjuangannya. Katanya kepada seorang Sultan di Asia Tenggara:

“Demokrasi-kebendaan yang dijulang oleh Amerika dan Eropah yang bukan Islam itu disebarkan ke merata-rata, seluruh dunia, segenap tempat. Dan itu bukan sekadar sebuah faham sekular yang tidak bersifat agama, tetapi yang sebenarnya itu adalah anti-agama, anti-Islam, against-Islam.

“Amerika memperalatkan faham Demokrasi-kebendaan itu kononnya sebuah faham politik yang terbaik untuk umat manusia sejagat, tetapi yang sebenarnya mereka memaksa negara-negara yang lemah supaya tunduk mengikut arahan mereka. Konon mereka berkempen untuk Demokrasi, yang sebenarnya mereka berkempen untuk kuasa mereka, yang anti-Islam. Dunia diperbodohkan oleh mereka, dengan alasan mereka adalah negara paling maju dan bertamadun tinggi. Dengan media berskala dunia yang mereka kuasai, mereka sebarkan kekeliruan ke seluruh dunia. Yang sebenarnya Demokrasi-kebendaan itu adalah suatu faham yang menentang Islam.”

Demikianlah saya melakukannya melalui seni teater. Menunggu Kata dari Tuhan (MKDT) itu mendapat sokongan besar dari masyarakat kerana bentuknya kebetulan dianggap sebagai sesuai dengan nilai Islam, khasnya tanpa penglibatan wanita. Malang Tamu Dari Medan Perang kerana ia mempunyai watak wanita, maka ia tidak diberi perhatian. Padahal mesej yang dibawanya tidak kurang pentingnya.

Tapi tidak mengapalah. Karya seni adalah karya seni. Ia mempunyai kebijaksanaannya sendiri. Mungkin ia menunggu waktunya yang sesuai. Siapa tahu!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)

Tiada ulasan: