"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menang BN bermakna kanser yang hampir pupus menular kembali

Roslan SMS
Budaya rasuah dan salah guna kuasa merupakan suatu kanser yang diternak dan diundang oleh Umno hasil dari politik kronisma dan nepotisamnya yang menebal dan tegar dalam pentadbiran dan pemerintahannya. Bukankah Umno satu-satunya parti politik yang tersohor dengan budaya politik wang?

Demikian juga Selangor tidak terkecuali ketika di bawah tunggak BN yang diterajui Umno. Bersilih-ganti kebelakangannya dari Mat Taib ke Abu Hasan terus ke Khir Toyo.

Dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor ini rakyat pengundi jangan sekali-kali lupa atau dilupakan akan perangai buruk Umno itu. Apabila Pakatan Rakyat mengambil-alih teraju pemerintahan negeri pada 8 Mac 2008 dahulu inilah gejala dan budaya yang mahu dikikis dan dihapuskan dari bumi Selangor.

Rakyat akan hidup senang dan tenang tanpa gejala dan budaya mungkar ini. Kemampuan Pakatan Rakyat Selangor menonjol dengan pentadbiran yang bersih dan telus itulah yang membimbangkan BN dan Umno.

Jika rakyat menghargai perjuangan ini maka mereka tidak sekali-kali akan mengundi atau menyokong BN. Menang BN di Hulu Selangor bermakna kanser yang sudah hampir pupus di Selangor itu akan menular hidup kembali.

Lupakah kita akan perangai dan budaya Umno itu?

Pada 23 Oktober 2001, Sdr Lutfi Othman yang kini Ketua Pengarang Harakah pernah membuat aduan rasmi kepada Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berhubung aduan rasuah membabitkan YAB Menteri Besar Selangor ketika itu, Dr Mohd Khir Toyo.

Antara aduannya adalah berkenaan projek pembinaan Jalan Cross Ban 4, Sungai Panjang sepanjang 20.5 kilometer (dalam kawasan DUN Khir Toyo) yang kos kontraknya menurut Lutfi menelan belanja RM92.5 juta.

Khir memilih Meram Holdings Sdn. Bhd. untuk membina jalan ini. Menurut Lutfi syarikat ini sebuah syarikat bermasalah dan ia pula memperolehinya dari tangan Khir melalui kaedah rundingan terus, tiada tender terbuka!

Malangnya setelah bertahun berlalu aduan Lutfi ini ditolak begitu sahaja atas pelabagi alasan termasuklah tidak berasas.

Tetapi anehnya pada tahun 2006 Ketua Odit Negara melalui LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA AKTIVITI DAN KAJIAN KHAS JABATAN/AGENSI KERAJAAN NEGERI SELANGOR 2006 melaporkan:

Semakan Audit mendapati Syarikat Meram Holding Sdn. Bhd. ditawarkan Projek Jalan Cross Ban 4. Manakala Syarikat Radzah Engineering Sdn. Bhd. pula telah ditawarkan Projek Jalan B44. Kedua-dua syarikat telah dilantik secara rundingan terus dan mendapat kelulusan Pegawai Kewangan Negeri pada 5 Februari 2001 atas alasan kedua-dua syarikat adalah syarikat berwibawa, berpengalaman serta berkemampuan dari segi kewangan dan juga merupakan kontraktor tempatan.

Bagaimanapun, projek pembinaan kedua-dua jalan dan jambatan tersebut bukanlah merupakan kerja yang mendesak dan perlu disegerakan, maka saranan Jabatan untuk melantik kontraktor secara rundingan terus adalah tidak wajar dan tidak mengikut Arahan Perbendaharaan 181. Semakan lanjut mendapati kontraktor yang dipilih bagi projek pembinaan Jalan B44 iaitu Syarikat Radzah Engineering Sdn. Bhd. yang berdaftar sebagai kontraktor Kelas BX telah ditawarkan projek bagi kontraktor Kelas A tanpa mendapat kelulusan terlebih dahulu dari Pusat Khidmat Kontraktor. Modal berbayar syarikat tersebut semasa pelantikan berjumlah RM260,000.

Laporan itu turut menyebut:

Pemilihan kontraktor bagi projek ini telah dilaksanakan secara rundingan terus. Ini tidak mengikut peraturan kewangan yang menghendaki perolehan kerja yang melebihi RM200,000 dipelawa secara tender.

Bagi kedua-dua projek ini, harga rundingan terus adalah lebih tinggi dari anggaran yang dicadangkan oleh perunding. Bagi Projek Jalan Cross Ban 4, kontraktor telah menawarkan harga kontrak bernilai RM110.76 juta manakala bagi Projek Jalan B44, tawaran yang dikemukakan oleh kontraktor bernilai RM41.03 juta.

Malah laporan itu membuat kesimpulan:

Jika tawaran kontrak ini dibuat secara tender maka ramai kontraktor akan menawarkan harga yang lebih berpatutan serta lebih ekonomi dan Lembaga Perolehan Negeri mempunyai pilihan untuk memilih kontraktor yang lebih layak dan berwibawa. Dengan cara ini pemilihan yang terbaik berdasarkan "best value for money" dapat dilaksanakan.

Masalahnya wang rakyat berjuta ringgit dibelanjakan oleh Khir tanpa melalui proses yang telus. Kaedah rundingan terus yang diguna-pakai ternyata menimbulkan pelbagai keraguan dan boleh dipertikaikan oleh rakyat!

Inilah satu pengalaman kecil bawah kerajaan BN diterajui Umno semasa mereka memerintah Selangor. Bayangkan apa lagi yang berlaku sepanjang lebih 50 tahun negeri ini bawah genggaman mereka!

Lantas jangan memperjudikan nasib dan masa depan anda dan anak-cucu anda. Jangan sekali-kalimengizinkan merekayang pincang dan kotor ini kembali berkuasa. Terus bersama Pakatan Rakyat di Selangor. Isyarat jelas perlu diberikan bermula dari Hulu Selangor. Undilah calon PKR Dato Zaid Ibrahim!

Tiada ulasan: