Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 21 April: Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) menggesa kerajaan memberikan perhatian serius terhadap masalah sistem pengangkutan awam di negara ini yang berlarutan sejak sekian lama dan menjejaskan keselesaan rakyat.
Salahudin sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pengangkutan Awam 2010 di Dewan Rakyat hari ini berkata, sistem pengangkutan awam di ibu kota khusunya transit aliran ringan (LRT) yang menjadi tumpuan warga kota sentiasa mengalami kesesakan terutamanya pada waktu puncak.
"Isu di sini ialah LRT tidak kira Putra, Star, sama seperti sardin dalam tin. Itulah hakikatnya terutamanya pada waktu puncak di mana kita melihat mereka yang menggunakan pengangkutan awam ini terdiri daripada mereka yang terdiri dari pegawai kerajaan, swasta dan sebagainya. Istilah sardin dalam tin ini sangat tepat," katanya.
Salahudin turut mempersoal sikap Kerajaan yang mewar-warkan hasrat menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan jumlah kenderaan yang masuk ke ibu kota tetapi tidak mencari jalan penyelesaian terhadap masalah kesesakan pengangkutan awam ini.
"Dalam masa yang sama kerajaan menggalakkan supaya Kuala Lumpur jadi seperti London dan Tokyo hyang mana kurangnya kereta yang memasuki kota.
"Kalau kita mahu Kuala Lumpur jadi seperti itu, kita mesti juga perlu beriltizam fikirkan satu sistem pengangkutan awam yang baik.
"Saya bertemu dengan pegawai Keretapi tanah Melayu (KTM), mereka berkata gerabaknya tidak ditambah. Kalau tidak ditambah isu sardin dalam tin ini tidak akan selesai," katanya.
Salahudin turut menyelar sikap Kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh untuk menaik taraf stesen bas Puduraya meskipun sejumlah peruntukan yang besar telah diumumkan untuk tujuan itu.
"Sebagai contoh baru-baru ini dua Perdana Menteri, pada 2004 dahulu sewaktu Pak Lah menjadi Perdana Menteri kemudian diambil alih oleh Datuk Seri Najib, kedua-duanya membuat lawatan ke stesen bas Puduraya.
"Kita menyaksikan bahawa Puduraya adalah bangunan yang terlalu ketinggalan zaman dan mengalami kesesakan dengan pencemaran alam sekitar , dan kekurangan ruang untuk menempatkan bas.
"Baru-barui ini saya difahamkan warga Puduraya diarah berpindah dan kerajaan berjanji untuk memberikan geran lebih kurang RM60 juta untuk mengubahsuai dan menaik taraf Puduraya tapi tidak jadi. Ini adalah satu sikap Kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh," katanya.
Beliau menyeru Kerajaan agar tidak mengabaikan kepentingan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
"Janganlah destinasi yang penting ini yang digunakan untuk manfaat rakyat berpendapatan sederhana dan rendah ini dipandang sambil lewa.Saya rasa masalah ini perlu diselesaikan samaada diberikan penempatan baru yang lebih selesa atau menaik taraf.
"kerajaan perlu mengotakan janji dengan bersungguh-sungguh untuk membaiki keadaan di puduraya ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan