"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Asri: Pelacuran Bakal Dilesen Jika Alasan Lulus Judi Bola Diguna Pakai

SHAH ALAM 15 MEI: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin bimbang corak kerajaan pemerintah menangani masalah judi dengan menghalalkannya melalui pemberian lesen judi, suatu hari bakal mendorong pelacuran menjadi industri yang dilesenkan.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau mendapati trend kerajaan pemerintah kebelakangan ini dilihat lebih gemar bersikap menghalal perkara haram apabila gagal mengekang sesuatu masalah jenayah.

Katanya, amalan kerajaan Umno Barisan Nasional ini bakal membawa keruntuhan institusi keluarga dan merosakkan masyarakat dan negara dengan perlahan-lahan tetapi secara keseluruhan.

Lantaran itu, Dr Asri bimbang wabak judi ini, suatu hari kelak akan mendorong kerajaan pemerintah menghalalkan industri seks atau pelacuran.

"Kemungkinan esok akan ada pelacur berlesen atas alasan sama iaitu untuk mengelak orang melanggan pelacur tidak berlesen kerana masalah AIDS, maka kerajaan saran pergi kepada pelacur berlesen.

"Pelbagai alasan boleh dikeluarkan untuk membenarkan aktiviti yang salah ini. Yang sebenarnya di sebalik semua ini ialah hasrat kerajaan untuk mencukaikan rakyat. Masalah kerajaan pemerintah, mereka mentakrifkan kalau berlesen, ia bukan jenayah," katanya.
Dr Asri tetap menganggap judi adalah jenayah sama ada ia berlesen mahupun tidak dan menyifatkan motif kerajaan di sebalik apa jua alasan mereka meluluskan lesen judi bola, semata-mata berpaksikan wang ringgit.

"Ini semua hanya alasan sahaja, saya tidak lihat apa-apa perkara yang kukuh di sebalik itu melainkan kerajaan ingin memperolehi cukai dari lesen judi ini," katanya.
-tvselangor-

Tiada ulasan: