"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan berselindung di sebalik kuasa istana - Anwar

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 10 Mei:
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak yang mendakwa Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mempersenda titah Sultan Selangor agar tidak berselindung di sebalik kuasa istana.

Anwar sebaliknya berkata, pihak yang lantang menentang Zahid seharusnya tampil menyatakan hujah dengan cara yang baik.

"Kalau tidak bersetuju dengan dia (Zaid), kita harus bahas dengan baiklah. Jangan cuba berselindung di sebalik istana untuk menyerang musuh politik.

"Bagi saya orang yang bagi pandangan itu harus bagi pandangan hujah balas. Jangan guna media mereka untuk menyerang orang," katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Jalan Duta selepas menghadiri perbicaraan ke liwat Anwar II hari ini.

Khamis lepas, seramai 20 ahli badan bukan kerajaan (NGO) yang menganggotai Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) berkumpul di hadapan ibu pejabat PKR di Damansara bagi membantah kenyataan Zaid berhubung titah Sultan Selangor.

Tindakan itu ekoran tulisan Zahid di blognya www.myzaidibrahim.com yang menyifatkan titah Sultan Selangor supaya rakyat tidak menggunakan masjid dan surau di Selangor sebagai tempat berpolitik sebagai pandangan peribadi, bukan satu perintah.

Anwar turut berkata, sebagai seorang peguam yang memahami undang-undang dan perlembagaan, Zaid hanya menyatakan tafsiran undang-undang dan pindaan yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu.

"Datuk Zaid ini peguam terkemuka terutama dari sudut undang-undang dan perlembagaan. Dia hanya mengesahkan tafsiran undang-undang dan pindaan yang dilakukan oleh kerajaan Umno (BN) pada masa itu yang menetapkan bidang kuasa Sultan.

Katanya juga, Umno BN sebenarnya yang sering melakukan tindakan menghina institusi istana sejak pindaan perlembagaan 1983.

"Yang menghina Sultan itu sejak pindaan perlembagaan 1983, adalah Umno BN. Baca hansard parlimen, baca ucapan-ucapan pemimpin Umno di Terengganu dan Kelantan dulu. Jadi saya kira bagi ruang kepada Datuk Zaid untuk mengemukakan pandangan. Kalau tidak bersetuju bagi ruang kepada orang lain yang tidak bersetuju kemukakan pendapat," katanya.

Zaid dalam tulisannya dipetik sebagai berkata, dalam sistem Raja Berpelembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu.

Katanya, menurut perlembagaan, segala kehandak sultan mesti disalurkan melalui Majlis Agama Negeri yang bermesuayarat dan keputusan mesyuarat itu akan diwartakan atau dijadikan “gazette” tentang apa-apa peraturan yang dikira perlu seperti mengeluarkan fatwa yang sah dan sebagainya.

Ujarnya juga, pendapat sultan hanyalah pandangan peribadi yang sekurang-kurangnya ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja.

Tulisan itu terbit sebagai mempertahankan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melanggar arahan Sultan Selangor apabila mengadakan ceramah di masjid di sekitar Selangor.

Sehubungan itu, beliau telah diberi amaran oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melalui sepucuk surat yang ditulis oleh pengerusi Mais, Mohamad Adzib Mohd Isa.

Tiada ulasan: