"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas Ketengah Calon Bukan Islam Di PRU13

Pas bercadang untuk melantik bukan Islam sebagai Senator ke Dewan Negara dan sebagai calon dalam pilihanraya umum akan datang.

Bercakap di pelancaran Dewan Himpunan Penyokong Pas di Klang hari ini, Presiden Pas Abdul Hadi Awang berkata gerakan Islam terbesar tanahair itu bersukacita untuk meletakkan pemimpin bukan Islam bagi mewakili masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Abdul Hadi berkata pelan peruntukan kerusi-kerusi Adun kepada bukan Islam di negeri-negeri yang ditadbir Pas kini dibincangkan oleh pimpinan tertinggi parti itu.

"Pada 1999, Pas mengambil langkah proaktif di Terengganu, dengan meminta undang-undang tubuh negeri melantik bukan Islam sebagai Adun jika mereka tidak memenangi pilihanraya," kata bekas Menteri Besar Terengganu ini.

Kira-kira 90 peratus penduduk Terengganu beragama Islam.

Hadi berkata keterbukaan PAS menerima orang bukan Islam menyertai parti Islam itu membuktikan bahawa PAS komited kepada agenda menyatupadukan semua kaum di negara ini.

"PAS cuba menyatupadukan seluruh kaum di negara ini dengan membuka pintu kepada orang bukan Islam menyertai PAS. Ini terbukti apabila Kelab Penyokong PAS dinaiktaraf sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS," katanya.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas, Hua Pang Chow berkata Pas hari ini telah mencapai matlamat kesatuan bangsa Malaysia, sesuatu yang gagal dikecapi Barisan Nasional setelah 52 tahun pemerintahan.

"1 Malaysia sebenarnya adalah salinan pendua Pas. Matlamat menjadikan Malaysia syurga untuk semua bangsa dan agama adalah matlamat Pas sejak 1951," katanya disambut tepukan gemuruh dari hadirin.

Sejak PRU2008, Pas giat mengemblengkan usaha menarik sokongan bukan Islam. Kelab Penyokong Pas dibentuk dengan jawatankuasa pimpinannya yang tersendiri, yang terdiri dari Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Ketua Sayap Pemuda, Ketua Sayap Wanita dan pemimpin mewakili setiap kaum.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir di majlis hari ini adalah Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Md Isa, Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Persuruhjaya Pas Selangor Datuk Hassan Ali, Exco Selangor Ronnie Liu dan Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam.
-tvselangor-

Tiada ulasan: