"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 pelajar terbunuh ditimpa bangunan runtuh

Tiga pelajar sekolah terbunuh, manakala seorang cedera parah apabila sebuah bangunan lama bekas menyimpan bijih timah di perumahan Pogram Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Changkat Tin, Tanjung Tualang di Batu Gajah runtuh semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Najib Mohamad berkata mereka yang terbunuh ialah Ahmad Nuzol Ahmad Nawawi, 13, Muhamad Hisham Alias, 12, dan Muhamad Safwan Abdullah 13.

Ahmad Nuzol dan Muhamad Safwan pelajar Sekolah Menengah C.M Yusof manakala Muhamad Hisham pelajar Sekolah Kebangsaan Changkat Tin, kedua-dua sekolah terletak di Tanjung Tualang.

Mereka mengalami kecederaan parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat, katanya di Batu Gajah hari ini.

Najib berkata mangsa yang cedera parah, Mohd Shahir Zairi, 13, juga pelajar Sekolah Menengah C.M Yusof dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk mendapatkan rawatan.

Kesemua mereka berasal dari PPRT Changkat Tin, Tanjung Tualang di Batu Gajah.

Beliau berkata kesemua mangsa ditemui pukul 10 malam tadi di bawah runtuhan bangunan oleh keluarga dan penduduk kawasan berkenaan.

Kejadian disedari oleh keluarga masing-masing apabila anak mereka tidak pulang selepas pukul 7 malam dan mereka mengadakan operasi mencari dengan bantuan penduduk Kampung.

Polis dimaklumkan mengenai kejadian selepas kesemua mangsa ditemui di bawah runtuhan bangunan pada pukul 10 malam, katanya.

Stor tempat menyimpan bijih timah itu terletak di kawasan lombong dan ketika kejadian kesemua mangsa dipercayai bermain serta menunggang basikal di kawasan tersebut, kata Najib.

Polis sedang menyiasat kejadian itu.

-Bernama-

Tiada ulasan: