"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Diari Sasau Seorang Yb (1)

Azizi Abdullah

Sungguh-sungguh saya tidak dapat bayangkan sekiranyalah saya ini seorang YB yang telah melompat parti menjadi calon bebas, lalu hendak turun ke kawasan menemui pengundi saya.

Apa mukadimahnya hendak saya berkata jika saya bertemu dengan pengundi saya, sama ada di kedai kopi atau di masjid atau di dewan. Takkan saya akan bertemu pengundi hanya ketika Pak Husin balik dari menoreh? Takkan saya nak temui Mak Minah yang sedang cari ubi kayu di belukar? Takkan saya nak bertemu Husin yang sedang jual air tebu?

Tiga bulan dulu ada saya telefon menyampaikan hasrat kepada Seman, JKK parti dulu. Seman terkejut dan berkata:

“YB jangan balik!”
“Kenapa?”
“Saya dengan khabar, ada dua tiga orang nak cempung campak ke dalam parit kalau YB balik!”

Memang pun patut mereka buat macam itu kepada saya. Saya sedar saya memang celakakan diri. Tapi haram jadah punya tawaran, menyebabkan saya naik mabuk kepayang. Cup-cup, habuk pun tarak.

“Kalau saya tak balik, apa sudahnya dengan pengundi saya. Itu kawasan saya. Saya masih jadi YB mereka,” saya berkata kepada Seman.

“Siapa kata YB mereka? Dulu mereka pilih bukan YB, mereka pilih calon parti.”

Seman seorang pekerja saya yang suka bertegang leher. Saya diam begitu saja. Akhirnya saya minta pandangannya, apa cara saya mesti buktikan saya ini YB kawasan itu?

Maka Seman pun cepat menjawab: “Senang saja. Kan sekarang ada blog, ada Facebook. Gunakan itu saja. Satu dunia tahu yang YB cergas!”

Sungguh, mengapa saya tidak pernah terfikir tentang ini. Bukankah ‘blog’ satu-satunya medium yang sangat berkesan. Saya boleh pembohong dan saya boleh berdusta. Dunia pasti tahu walaupun di kawasan saya pengundi meludah atau pun maki-maki.

Membina blog tidaklah sukar. Upah RM100, tiga jam siaplah. Gambar di logo saya masukkan saya dengan seekur kambing besar. Saya simbolkan, saya YB dan kambing adalah pengundi.

Pertama kali saya menulis menceritakan saya berada di Moscow. Saya siar gambar untuk memberitahu pengundi bahawa inilah YB kamu. YB kamu bukan sekadar pegi melawat kolam ikan keli tapi ke Moscow.

Tapi pengundi saya sebenarnya tak tahu. Saya yang terpilih itu pun jenuh saya gabus pungkur mereka, saya cium tangan mereka, saya jilat jubur mereka dan saya menangis beritahu saya menyesal.

Esok saya keluar menyataan hentam ketua parti saya dulu. Lusa saya dapat tiket percuma melancong ke Moscow.

Balik dari Moscow saya tulis isu umat Islam sudah nipis iman dan akidah. Untuk membuktikan saya kuat sokong Islam, saya beritahu saya sudah membuat wakaf sepuluh buah ‘muqaddam’ kepada sepuluh orang yang buta qur`an berusia 65 tahun.

Tiba-tiba meletup pula pasal kerajaan nak beri lesen judi kepada satu syarikat. Saya naik pening. Mana boleh saya bantah walaupun itu perkara benar. Tapi mujurlah dalam masa yang sama timbul isu ketua parti saya dulu keluar negara. Sayapun tulis berulang kali hentam sungguh-sungguh untuk menunjukakan saya tidak setuju. Mana tahu lain kali dapat pula sponsor ke Afrika Selatan untuk Piala Dunia.

Bagaimana pun saya sebenarnya diserang fobia. Saya sebenarnya sangat tidak tenteram. Bukan kerana saya kesal lompat parti dan jadi bebas tetapi saya fobia tentang pengundi kawasan saya. Saya sepatutnya isytihar keluar parti dan sekaligus terus letak jawatan YB. Ini yang sewajarnya. Tapi apakan daya. Masakan saya boleh lepas elaun dan taitel YB begitu saja. Ini kerja bodoh. Bukan senang nak dapat jadi YB.

Saya berazam mahu mempertahankan sebutan YB ini untuk penggal ini saja. Penggal akan datang saya tidak ada peluang lagi. Saya sedar Umno pun tak akan mahukan saya. Kalau mahu pun saya akan jadi kuda tua. Nak masuk balik parti asal, weekkkk, muntah hijau pun mereka tak terima. Nak masuk Pas, itulah…Pas pun macam cerdik pelanduk. Saya telah ‘test’ dua tiga kali. Saya puji Pas, saya puji Tok Guru tapi Pas nampaknya buat dono saja.

Saya memang menyesalkan. Rupa-rupanya barulah saya sedar, orang macam saya berlambak-lambak tak berguna.

Atas asas agama yang ada pada saya, bulan Ramadan ini mahu rasanya saya kembali ke kawasan, mahu memohon maaf. Saya sedar saya sangat bersalah kepada pengundi, kepada pekerja dulu. Saya banyak berhutang: berhutang wang dan berhutang budi, berhutang tenaga. Dengan apa saya hendak membalasnya, melainkan dengan memohon maaf.

Mahukah mereka terima saya? Inilah persoalannya.

Saya cuba memejam mata dan cuba membayangkan: saya ke warung tepi sungai. Saya sua tangan nak bersalam, tak seorang pun sambut. Saya semawa ramai-ramai minum kopi, tak seorang pun datang.

Saya singgah di masjid, saya pura-pura ke saf depan. Tapi tak ada siapa pun yang tolak jadi imam. Kalau dulu, sila Yb, sila YB, sila YB.

Selepas solat, saya minta sepuluh minit nak beri tazkirah, betapa pentingnya umat Islam bersatu menentang Zionis. Tapi tiga empat orang batuk-batuk dan terkam keluar buang kahak.

Waahhh, rupa-rupanya pengundi saya sudah pandai berfikitr. Mereka rupanya bukan lagi pak turut.

Taka apa…tak apa…khabarnya pilihanraya bulan September ini. Kalau cepat lagi bagus. Akan cepatlah hilang kemaluan saya dan akan cepatlah terpadam taitel YB yang sangat menggelisahkan saya. Saya sekarang malu nak balik kawasan. Khabarnya kawan-kawansaya pun, sudah jadi macam ayam berak kapur.

Tiada ulasan: