Aspan Alias
Kekeliruan politik negara amat jelas dan keadaan ini belum pernah kita alami. Kita beranggapan di zaman Abdullah Badawi mentadbir negara kita ini merupakan zaman yang paling tidak menentu.Jelas sekarang ini bahawa zaman Abdullah mentadbir negara, keadaan buruk zamannya itu tidaklah seteruk keadaan sekarang ini.
Akhirnya ramai yang saya temui mengakui bahawa keadaan politik negara sekarang ini menjadi igauan bagi sesiapa yang tidak mahu parti yang memerintah hari ini akan menyeberang duduk sebagai pembangkang di dewan-dewan lagislatif diperingkat negeri-negeri dan Parlimen.
Pandangan saya ini mungkin mendapat reaksi yang tidak menyenangkan bagi mereka yang masih didalam ‘state of denial’ dan pihak-pihak yang tidak mahu mendengar cerita-cerita buruk.
Saya lebih cenderung untuk menyebut cerita yang buruk kerana sudah terlalu ramai di kalangan pemimpin Umno kita membuat cerita yang enak-enak dan melekakan UMNO dan pemimpinnya.
Baru-baru ini timbul keinginan setengah pihak untuk melihat PAS dan UMNO duduk di meja rundingan bagi mencari penyelesaian terhadap isu Melayu dan perpaduannya.
Muhyiddin nampaknya memberi reaksi yang baik dan bersedia untuk berbuat demikian. Muhyiddin mungkin ada kesedaran yang cadangan itu adalah satu cadangan yang baik untuk mengurangkan tekanan kepada UMNO yang sedang dalam kekeliruan kerana berhadapan dengan banyk isu.
Tetapi di sebaliknya Najib pula berkata rundingan itu tidak perlu kerana UMNO sedang bertambah kuat dan beliau seolah-olah tidak nampak yang UMNO pimpinannya sudah hampir terjerumus ke dalam keaiban jika pilihanraya umum diadakan sekarang ini.
Pemikiran Muhyiddin dengan Najib memang jelas tidak selari dan tidak sehaluan. Di mana-mana orang ramai menyedari hakikat ini dan mereka menganggap itu adalah satu fenomena yang merbahaya bagi parti apatah lagi dalam keadaan sekarang ini.
Mendengar kata-kata Najib dan Muhyiddin yang menunjukkan perbezaan pandangan dan nilainya membuat kan orang ramai keliru, apatah lagi dikalangan ahli-ahli UMNO sendiri.
Saya bukan bermaksud untuk menyokong perbincangan dengan PAS kerana PAS dan UMNO tidak akan berjaya duduk bersama. Tetapi yang merunsingkan ialah Najib menjawab dengan kata-kata yang tidak benar bila beliau mengatakan UMNO masih kuat.
Di mana letaknya kekuatan UMNO itu? Bagi saya andaian itu, jika banar memanglah baik bagi parti, tetapi didalam naluri orang ramai mereka tidak langsung nampak kebenarannya.
UMNO/BN masih mampu mentadbir kerajaan kita hari ini semata-mata kerana dukungan Sarawak dan Sabah semasa pilihanraya yang lepas. Mereka yang mengundi di Sarawak dan Sabah kerana tidak menyangka yang pengundi di Semenanjung akan memberikan sokongan kepada parti alternatif dalam pilihanraya itu.
Sekarang tekanan terhadap BN di kedua-dua buah negeri itu sudah nyata kerana mereka menjadikan arah politik diSemenanjung sebagai penentu arah politik tanah air.
Di Sarawak kehadiran parti-parti pembangkan akhir-akhir ini mendapat sokongan dari orang ramai kerana kerana masalah kepimpinan Taib Mahmud yang begitu lama seolah-olah Sarawak itu adalah kepunyaan peribadi beliau sehinggakan tidak ada lagi pemimpin yang berpotensi untuk memimpin bumi kenyalang itu.
Sehingga kehari ini di Sarawak masih tidak ada indikasi pertukaran pemimpin kerana semua yang berpotensi telah hanyut kerana sikap kuku besi Taib disana. Najib tidask boleh lagi menganggap Sarawak dan Sabah sebagai ‘fixed deposit’ bagi BN.
Kalaulah tidak kerana sokongan undi pos, DAP sudah pasti berjaya merampas kerusi parlimen Sibu dengan majoriti melebihi 4,000 undi di dalam pilihanraya kecil Sibu baru-baru ini. Hanya pengundi pos yang merapatkan majoriti kekalahan BN kepada 398 undi.
UMNO di cawangan-cawangan tidak bergerak lagi seolah-olah cawangan-cawangan sudah mati kaku. Jika cawangan tidak pastas bekerja untuk parti maka tidak ada asas bagi seorang pemimpin seperti Najib bercakap seperti orang yang takbur dan mendabik dada kerana mempercayai yang UMNO itu masih kuat.
Saya berharap apa yang saya fikirkan ini adalah salah. Jika apa yang saya fikirkan ini benar maka kita akan melihat satu demi satu kubu yang tinggal kepada kita jatuh berderai maka akan bermulalah episod baru politik tanah air.
Jika BN terutamanya UMNO jatuh kali ini saya tidak nampak parti itu akan kembali berkuasa dalam tempuh yang lama kerana UMNO tidak biasa menjadi pembangkang kerana terlalu biasa dengan kemewahan yang telah membawa parti kita ini ketahap kufur nikmat yang amat rendah disisi dan pandangan agama kita.
Ahli-ahli UMNO ini serperti ‘ayam daging’, sentiasa mematuk makanan yang diberikan oleh tuannya. Tetapi ahli-ahli PAS itu diibaratkan sebagai ‘ayam kampung’ yang biasa dengan mencari makan sendiri.
Itulah sebabnya ayam daging selalunya gemuk tetapi dagingnya lembik dan jika dimasak terlalu lama dagingnya akan hancur. Di sebaliknya ayam kampung lebih keras dagingnya jika dimasak berjam-jam lamanya untuk dimasak rendang rasanya lebih sedap.
Itu sebabnya ayam kampong harganya RM11 tetapi ayam daging harganya tidak boleh lebih dari RM 7 seperti yang diumumkan oleh Ismail Sabri baru-baru ini. Harga ayam daging ini jauh lebih murah dari harga ayam kampung.
Lagi pun jika ayam daging dilepaskan dari sangkarnya ayam itu tidak akan mampu mencari makan dengan sendiri dan jika kita kejar pun dia tidak akan dapat lari kerana terlalu gemuk disebabkan makan terlalu banyak.
Tetapi akhir-akhir ini ayam daging pun sudah tidak dapat makanan yang secukupnya kerana tuannya sedang menghadapi kegawatan ekonomi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan