"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki ditahan reman, disyaki guna identiti orang lain mohon bantuan RM300,000

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Bekas penjawat awam ditahan, disyaki guna butir matan palsu untuk mendapatkan bantuan kewangan mencecah RM300,000. – Foto SPRM
KUALA LUMPUR: Bekas penjawat awam ditahan kerana disyaki menggunakan identiti orang lain bagi memohon bantuan kewangan bernilai kira-kira RM300,000.

Menurut sumber, lelaki berusia 30-an itu ditahan pada jam 6 petang semalam selepas selesai memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2020 hingga 2025 ketika masih bekerja.

“Suspek disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu di tempatnya bekerja di bawah program bantuan kewangan berjumlah kira-kira RM300,000.

“Suspek juga dipercayai menggunakan maklumat 11 individu tanpa pengetahuan mereka untuk memohon bantuan dan memperoleh wang bantuan antara RM500 hingga RM1,000 setiap bulan,” katanya hari ini.

Menurut sumber, duit bantuan berkenaan dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik suspek sejak tahun 2020.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan perintah tahanan reman terhadap suspek selama empat hari bermula hari ini hingga 17 Julai.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohammad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tiada ulasan: