"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemilihan PKR : Anwar Janji Tindakan Tegas


PETALING JAYA, 28 NOV: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan parti itu tidak mengambil ringan aduan dan rungutan mengenai pemilihan parti yang mengguna pakai sistem satu ahli satu undi buat kali pertama dalam sejarah Malaysia.

Anwar mengakui bahawa pemilihan itu mempunyai kelemahan tertentu tetapi menegaskan iltizam kepimpinan untuk membaiki sistem itu dan menangani aduan yang di terima tidak perlu dipertikaikan .

“Ada kelemahan? Jawabnya Ya. Haruskah ada pembaikan? Ya. Dan jika ada bukti berlaku penipuan…adakah kita akan bertindak? Ya (kita akan mengambil tindakan),” Anwar menegaskan pada ceramah malam tadi.

Sebahagian besar daripada ucapan Anwar  berpaksi kepada isu-isu pokok mengenai hasil pemilihan parti yang dipergunakan oleh individu tertentu untuk menyerang kepimpinan parti termasuk Anwar sendiri.

Namun tidak kurang juga pemimpin setia yang memberi cadangan ikhlas dalam menggesa parti supaya mengambil tindakan tegas dalam membaiki sistem pemilihan itu.

Anwar berkata PKR tidak mengekang calon-calon yang bertanding untuk mengemukakan aduan kepada jawatankuasa pemilihan parti.

Ketua Pembangkang itu menegaskan bahawa pemilihan parti tetap kredibil dengan lebih 70,000 ahli keluar untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Tuduhan kononnya penipuan secara berleluasa adalah tidak benar dan hanya disebarkan oleh akhbar Utusan Malaysia yang dikawal Umno.

“Yang kata kami melakukan kesalahan ialah Utusan Malaysia, tetapi sejak bila Utusan pernah kata kita betul?’ tanya Anwar.

Merujuk kepada kempen pemilihan di peringkat cabang dan nasional, Anwar berkata ahli parti baru belum menghayati agenda kepelbagaian kaum PKR.

“Ada  yang baru menjadi ahli selama dua tiga tahun dan masih terikat dengan perspektif perkauman yang sempit..Kita perlu mendidik mereka,” kata beliau.

Anwar mengingatkan ahli parti supaya tidak alpa terhadap perjuangan parti pada pilihanraya umum akan datang.

Beliau berkata sejarah PKR menunjukkan beberapa kegagalan sering disusuli dengan kejayaan yang cukup bermakna.

 “Kami kalah di  Ijok pada tahun 2007, tetapi kami tawan Selangor pada tahun 2008. Kita kalah di Batu Sapi namun kita boleh memenangi Sabah pada masa akan datang.
-tvsnews-

Tiada ulasan: