SHAH ALAM, 28 DIS: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menyarankan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim supaya tidak membenarkan Datuk Khusrin Munawi masuk ke dalam pejabat setiausaha kerajaan negeri selama sebulan sebagai tanda protes.
Cadangan ini diajukan oleh Nizar berikutan perlantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam tanpa merujuk kepada kerajaan negeri yang dianggap bertujuan untuk mencapai kepentingan politik pihak-pihak tertentu.
"Jadi saya cadangkan supaya Tan Sri Khalid menggunakan kuasa dia untuk mengunci dan anggota keselamatan jangan membenarkan Khusrin masuk selama satu bulan ke pejabat dia.
"selepas kunci bilik tu dia kena keluarkan, Tan Sri Khalid keluarkan satu nota kepada Datuk Khusrin supaya tidak masuk ke pejabat SS dan hanya duduk di rumah, dan kerja dia hendaklah dipangku oleh orang lain," katanya yang dihubungi TV Selangor hari ini.
Nizar mengemukakan cadangan ini kerana khuatir apa yang berlaku di Perak akan berulang lagi di Selangor dan cadangan tindakan ini dilakukan bagi menyelamatkan tampuk pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor.
Sebelum ini, UMNO-BN telah merampas negeri Perak dari Pakatan Rakyat gara-gara dua ADUN PKR (Behrang & Changkat Jering) dan satu ADUN DAP (Jelapang) telah bertindak keluar parti dan menjadi Bebas, kelayakan ketiga-tiga ADUN ini dipertikai kerana kerusi DUN yang berkenaan telah diumumkan kosong oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar.
Nizar juga menolak tindakan perlantikan Khusrin ini dan menganggap ia sebagai membelakangkan Menteri Besar Selangor kerana keputusan dibuat tanpa meminta pandangan Menteri Besar itu.
"Saya berpendapat bahawa ini adalah satu tindakan yang tidak menghormati kedudukan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat sebab dia sebagai menteri besar, mestilah diberikan keputusan ataupun ruang untuk memilih orang yang dia boleh berkerja sebagai SS walaupun dia ada perlantikan daripada Putrajaya tapi pandangan dia mesti dihormati oleh Putrajaya ataupun SPA, jadi ini menunjukkan membelakangkan Tan Sri Khalid dengan hanya menggunakan Tuanku Sultan," katanya.
Nizar turut memberitahu jika perlantikan Khusrin ini diteruskan, mungkin akan terdapat campurtangan dari kerajaan Pusat dalam membuat keputusan mesyuarat Exco.
"Apa saja keputusan-keputusan yang diputuskan dalam mesyuarat exco, kita sepatutnya SS akan keluarkan arahan dan laksanakan yang diputuskan dalam mesyuarat exco dia lengahkan, dia tak buat.
"kemudian apa yang tak diputuskan dia buat, mesyuarat exco tak bincangkan masalah ini, dia sendiri akan buat surat dan keluarkan arahan tanpa kita bagi arahan dari mesyuarat exco," ujar Nizar.
Mohd Khusrin, 54 tahun, menggantikan Datuk Ramli Mahmud, yang bersara pada hujung minggu ini, dilihat sebagai pegawai kanan yang kontroversi ketika menerajui JAIS.
Di bawah terajunya JAIS menahan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin atas alasan mengajar tanpa tauliah.
Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat turut dilarang memberi ceramah di masjid-masjid Selangor.
JAIS sedang menguruskan kes kontroversi melibatkan tangkapan besar-besaran pengamal Syiah minggu lalu.
-tvsnews-
1 ulasan:
Susahlah rakyat kerana masih ada pentadbir yang kurang cerdik. Rakyat nak menumpang teduh tetapi akibat dari kurang cerdiknya rakyat akan menjadi susah. Janganlah bongkak sangat dengan kuasa yang sedikit yang di berikan oleh Allah S.W.T. Semuanya akan dipertanggungjawabkan dalan kubur nanti. Gunakan akal dan budi bicara demi kesejahteraan rakyat dan negeri yang telah terbukti berjaya dikendalikan oleh PR yang memerintah dengan telus dan cekap. Allah dah berikan kebaikkan tetapi kita masih memilih kemusnahan malah menjadi punca kehancuran itu. Apalah agaknya habuan yang bakal diterima ya... Ayuh rakyat tingkatkan kesedaran untuk menilai punca kehancuran bangsa sendiri...
Ingatlah salah satu golongan yang akan keneraka tanpa hisab adalah pemimpin yang zalim...
Catat Ulasan