PENAFIAN artis berstatus janda, Maya Karin mengenai keintimannya bersama lelaki bergelar duda, Yusry KRU, semakin mengesahkan mereka sebenarnya menjalin sebuah 'hubungan.'
Setakat ini, kedua-dua pelakon yang pernah bercinta dalam filem Mr. Cinderella 2 itu lebih selesa dengan istilah 'kawan baik'.
Atas status 'kawan baik' itulah yang memberanikan Maya dan Yusry kerap berdua-duaan. Kali pertama sensasi hubungan mereka tercetus ialah apabila Maya dan Yusry dilihat keluar dari panggung wayang di Alamanda, Putrajaya.
Mereka mengakuinya sama-sama menghadiri majlis kesyukuran kejayaan filem Magika di Cyberjaya tidak lama dahulu.
Maya dan Yusry sekali lagi dilihat keluar bersantai menonton filem The Chronicles of Narnia: The Voyage Of The Dawn Treader, juga di pusat beli-belah yang sama di Putrajaya, beberapa minggu lalu.
Isnin lalu, mereka seperti enggan berselindung tatkala menyaksikan pratonton filem Khurafat.
Kebersahajaan Maya dan Yusry itu tetap mencuri tumpuan. Duduk sebaris dengan mereka, abang sulung Yusry sendiri, Norman Abdul Halim. Dalam nada mengusik, si abang sempat berbisik kepada seorang wakil media.
Katanya: "Mari kita tengok, mereka (Maya dan Yusry) akan pegang tangan atau tidak." Gurauan itu habis di situ.
Yusry yang tidak sempat disapa malam itu memberi respons ketika dihubungi. Katanya, sebagai sahabat, tiada salahnya mereka keluar bersama.
"Sama juga dengan Maya, saya ialah antara kawan rapatnya dan kami hanya keluar bersama sejak akhir-akhir ini setelah masing-masing solo.
"Kami hanya berkawan, tiada kategori khusus sama ada kawan rapat ataupun kawan biasa.
"Cuma orang dengan mudah menganggap saya dan Maya ada hubungan istimewa. Jika saya serius mahu berkahwin lagi, saya akan bawa bakal isteri bertemu ibu saya," Yusry bertegas.
Teka-teki cinta baru Maya dan Yusry ini mengundang satu lagi pertanyaan, bagaimana pula dengan spekulasi hubungan Maya dan aktor Remy Ishak seperti yang pernah diperkatakan.
Mengulas tentang Yusry, Maya berkata: "Memang betul saya keluar dengan Yusry. Hubungan ini bukan rahsia lagi. Cuma saya tak boleh nak bercakap lebih lanjut kerana ia hanya atas dasar persahabatan.
"Kami ikhlas dan tak perlu sembunyikan hubungan ini. Kami pun kena hidup macam orang biasa juga."
Maya juga mengakui tidak menolak takdir sekiranya bertemu jodoh dengan Yusry pada kemudian hari memandangkan pengarah filem Hikayat Merong Mahawangsa itu memiliki kriteria lelaki yang diingininya.
"Saya suka dan selesa berkawan dengannya. Lagipun takkan kita berkawan dengan seseorang yang kita tidak suka.
"Kalau ada jodoh dengannya, saya tidak menolak. Saya akui Yusry mempunyai kriteria lelaki idaman yang dicari. Dia serius tetapi ada masanya pandai melawak.
"Saya suka dan cukup selesa berkawan dengannya," kata Maya yang menolak kemungkinan untuk berkahwin lagi dalam masa terdekat.
-kosmo-
1 ulasan:
ni blog pro-umno ker sampai berita artis pon masuk?
Catat Ulasan