"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Aziz mahu pihak dakwa beliau meninggal dunia minta maaf

KOTA BARU, 28 Dis: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya.

“Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya,” kata beliau (gambar) yang juga Mursyidul Am PAS dipetik Bernama.

Beliau ditemui selepas mesyuarat mengenai bekalan air di kediaman rasminya di JKR 10 di sini, hari ini.

Berita kononnya beliau meninggal dunia disebarkan menerusi blog dan mesej Twitter lewat petang.

Malah SMS mengenai fitnah itu turut disebarkan semalam.

Beliau menghadiri majlis rasmi pagi semalam sebelum menjalani rawatan rutin sebelah petang.

Sebelum ini, berita mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz, 79, heboh diperkatakan malah dikatakan telah meninggal dunia malam tadi. Menteri besar itu minggu lalu menerima rawatan di Wad Eksekutif Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana sakit pinggang.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mampu mentadbir Kelantan, Nik Aziz berkata beliau masih mampu berbuat demikian kerana tugas mentadbir negeri bukan dengan tenaga zahir tetapi dengan otak dan mengaku otaknya masih berfungsi dengan baik.

Beliau juga menyifatkan spekulasi mengenai kesihatan seseorang pemimpin terutama pemimpin politik adalah perkara biasa.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: