"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bank Amerika arah pelabur keluar - Mahfuz

Khairil Abdul Rahim
TEMERLOH, 28 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendedahkan terdapat institusi kewangan dari Amerika Syarikat mengarahkan pelabur-pelabur dari negara itu mengalihkan perniagaan ke negara lain selepas isu penggantungan Ketua Pembangkang di parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menjelaskan, perkembangan tersebut berlaku akibat timbul krisis keyakinan terhadap pemerhati ekonomi luar negara kerana pertama kali berlaku dalam sejarah negara Komanwel ketua pembangkang digantung.

Berucap dalam satu majlis dialog isu semasa dengan ahli-ahli PAS Kawasan ini yang berlangsung di pejabat Perhubungan PAS Pahang di sini, Mahfuz berkata keadaan tersebut sudah tentulah merugikan negara dari aspek ekonomi.

“Saya diberitahu apabila Anwar Ibrahim bersama tiga orang ahli parlimen pembangkang digantung, sebuah bank di Amerika segera menasihatkan para pelabur Amerika yang berurusniaga di sini segera mengalih dana mereka ke negara lain.

“Ini pertama kali berlaku dalam sejarah negara Komanwel ketua pembangkang digantung dan mereka yang sentiasa memerhati perkembangan bimbang dengan kesan kestabilan politik dan kesannya akan dirasai nanti,” katanya.

Tambahnya, dengan perkembangan ini dan beberapa faktor yang tidak menyebelahi pemerintah, beliau berpendapat tidak mungkin pilihan raya umum (PRU) akan diadakan pada masa terdekat tetapi tidak akan melebihi tempoh 18 bulan.

Berucap di hadapan lebih 100 ahli PAS, Mahfuz berkata sasaran PAS pada PRU akan datang ialah bagaimana untuk meningkatkan undi Melayu dan pengundi muda justeru jentera PAS di semua peringkat perlu ada penumpuan khusus bagi mendekatkan parti dengan kelompok tersebut.

“Sebenarnya pada PRU 1999 PAS sudah dapat mendominasi undi Melayu. Malangnya momentum yang ada tidak berterusan. PRU 2008 juga kurang mendapat swing undi Melayu, sebaliknya mendapat swing undi bukan Melayu.

“Saya nak tekankan bahawa harus dilihat generasi anak muda yang baru pertama kali mengundi dan mereka ini kurang memahami dan belum terdedah dengan sepak terajang politik. Mereka inilah yang perlu diambil perhatian kerana life stylenya berbeza. Ada kajian mengatakan kebanyakan mereka tidak memihak kepada kita mungkin salah satunya faktor hiburan.

“Sebab itu bagi saya, perlu ada ikon daripada kalangan parti yang dilatih membuat penampilan dan membina imej PAS di kalangan anak muda supaya mereka merasa tiada jarak dan kita pula memahami cita rasa mereka sambil tidak melupakan anak-anak ahli dipastikan mendaftar sebagai pengundi,” ujarnya.

Tambah Mahfuz, bertolak daripada sekarang jentera penerangan PAS mestilah melaksanakan program-program penerangan dan sebaran risalah bagi menjana mood rakyat supaya lahir momentum perubahan politik.

Tiada ulasan: