"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek tahanan reman pembunuhan Nurin Jazlin tuntut keadilan

SHAH ALAM, 30 Dis: Seorang peniaga kain dan adik iparnya Mohamad Zamri Ibrahim dan Mohamad Suhaimi Yusof yang menjadi suspek kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, tiga tahun lalu, masing-masing menuntut keadilan akibat tahanan reman.
Ini berikutan apabila tuntutan plaintif (Zamri dan Suhaimi) iaitu saman mereka ditolak atas alasan plaintif gagal menamakan pelaku dan hanya menamakan pegawai penyiasat sahaja.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kesal dengan keputusan ini dan meminta keadilan diberikan kepada mangsa yang dituduh tanpa pembelaan selepas itu.

Beliau meminta badan kehakiman membuat keputusan dengan telus, adil dan saksama serta menilai segala aspek dalam melindungi kepentingan semua pihak dan juga kepentingan awam tanpa mengira status.

Khalid turut menyatakan bahawa profesion polis dipandang serong apabila tidak berlaku adil kepada orang awam serta tidak mengikut prosedur yang betul dalam menahan suspek yang ternyata adalah bukan penjenayah.

“Usaha membersihkan nama baik polis itu harus dibuat oleh polis sendiri. Sepatutnya polis jangan menutup dan melindungi tindakan seperti ini. Mereka harus bertindak tegas bahawa anggota mereka adalah profesional. Hakikat bahawa dia dipukul tidak boleh dinafikan.

“Pada hakim dan mahkamah, bagi orang yang mangsa, jangan atas sebab teknikal seperti ini yang remeh, keadilan itu dinafikan. Institusi mahkamah seharusnya menjamin keadilan bagi rakyat jelata yang berhadapan dengan institusi pemerintahan yang ada kuasa,” jelasnya.

Mengikut pernyataan tuntutan Mohamad Zamri dan Mohd Suhaimi, mereka mendakwa mereka telah dipukul, dipijak dan ditendang dan dihentak oleh polis.

Zamri berkata, mereka kemudiannya telah disoal siasat dan ditahan reman sebelum dibebaskan.

Akibat daripada tindakan polis, mereka mengalami kecederaan, tekanan, kehinaan dan rasa malu yang amat sangat.

Menceritakan detik penangkapan pada 27 September 2007 pukul 11.20 malam, Mohamad Zamri mendakwa dia sedang memandu kereta bersama isterinya, dan tiba-tiba dihalang tiga kereta dan beberapa lelaki berpakaian biasa di mana seorang telah mengacu pistol ke arahnya sebelum dia ditarik keluar dan digari sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kereta manakala isterinya dimasukkan ke dalam kereta berlainan.

Beliau dan isteri dibawa ke kedai Arked Desa milik beliau dan menangkap seorang lagi mangsa iaitu adik ipar beliau Suhaimi Yusof yang berada di dalam kedai tersebut.

“Pemeriksaan kesihatan mengesahkan saya dan Suhaimi mengalami kecederaan dan diberi ubat-ubatan. Kejadian ini semasa dibahas dalam mahkamah, kita ditangkap dan dipukul semasa dalam jagaan polis dalam tahanan reman,” katanya.

Sebelum ini, Mohamad Zamri berjaya membuktikan keseimbangan kebarangkalian dalam kes itu.

Mahkamah membenarkan ganti rugi kecederaan RM1,500, ganti rugi salah tahan RM10,000 dan ganti rugi hukuman/teladan sebanyak RM30,000, yang membawa jumlah keseluruhan ganti rugi RM41,500.

Adik iparnya, Mohd Suhaimi, pula diberi ganti rugi RM31,500 kerana dia ditahan atas alasan yang munasabah namun dia telah dicederakan dengan secara tidak wajar.

Pada 20 Ogos 2007, Nurin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Mayatnya, ditemui pada 17 September tahun yang sama, iaitu 27 hari kemudian, dalam sebuah beg yang diletakkan di hadapan premis perniagaan di Petaling Jaya.
-selangorkini-

Tiada ulasan: