"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bolehkah Pandikar Amin 'digantung' tugas sebagai speaker Parlimen?

H FANSURI
“Sama ada Umno bela Apco Israel lalu Anwar pun digantung, atau memang Umno takut isu Israel ini dihebah secara luas dan berleluasa?” kata seorang teman.

Beliau merujuk kenyataan Ketua Pengimbang, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kewujudan isu Apco Worldwide (Apco) sebagai punca kenapa Anwar dan beberapa lagi ahli parlimen pengimbang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu dilaporkan sebagai berkata, badan perunding profesional Apco kini sudah menjadi seperti satu entiti kebal di Malaysia sehingga tidak boleh ‘disentuh’ oleh mana-mana pihak.

Anwar berkata, “Apakah Apco ini... 'dewata dari kayangan' sehingga kita tidak boleh langsung hendak soal dia. Kita menuntut penjelasan Apco dalam kes ini (penggantungan empat Ahli Parlimen).

“Kerana Apco, empat ahli parlimen kita (pengimbang) digantung (daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan) tanpa mengikut peraturan,”
katanya pada suatu sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat di Damansara baru-baru ini.

Digantung tanpa peraturan?

Rakan bualan saya itu bertanya, “Apakah benar penggantungan dilakukan oleh speaker parlimen tanpa peraturan sah? Jika begitu, adakah kita boleh tukar Pandikar Amin Mulia daripada jawatan speaker?”

Pertanyaan seperti ini bukan datang daripada beliau seorang sahaja, malah ia turut dikongsi oleh orang lain juga. Setiap orang yang dihukum pasti akan bertanya, adakah hukum dan hukuman itu wujud?

Dan, jika peraturan itu wujud, adakah ia benar-benar sah dan tidak melanggar tatacara kemanusiaan?

Misalnya, ISA dan Auku adalah undang-undang yang benar-benar wujud. Tetapi, ia bukan perundangan yang berperikemanusiaan. Undang-undang yang bukan berperikemanusiaan bukanlah undang-undang.

Ya, boleh dikatakan semua orang tahu bahawa isu Apco itu menjadi punca kenapa ahli-ahli parlimen itu dihukum gantung selama enam bulan. Tapi, soalan yang tidak kalah pentingnya, adakah sikap Pandikar Amin Mulia menggantung mereka itu berdasarkan undang-undang? Sahkah pergantungan itu?

Maka, kalau ia sah, ini bermaksud, wujud undang-undang itu. Dan, kita perlu bertanya semula diri kita, adakah hukuman Pandikar Amin yang sah itu tiada masalah dengan amalan demokrasi di negara ini?

Saman speaker?

Cara penggantungan itu dibuat ialah dengan cara Dewan Rakyat meluluskan usul penggantungan empat ahli parlimen pengimbang, berikutan syor Jawatankuasa Hak dan Kebebasan melihat Anwar membuat kenyataan tidak benar apabila cuba mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel.

Selain itu, Karpal Singh, Sivarasa dan Mohamad Azmin juga turut didapati menghina dewan yang juga bersabit isu Anwar dan Apco. Persoalan awal di sini, bukankah Parlimen itu tempat debat. Salah, benar dakwaan mana-mana ahli parlimen, tidak boleh menyebabkan seseorang itu dihukum mahkamah.

Tetapi lain pula halnya di sini. Dalam Parlimen, seolah-olah speaker telah bertindak sebagai hakim pula apabila kuasa kehakiman sudah tidak boleh masuk campurtangan dalam urusan parlimen. Semuanya ini boleh difahami jika kita mengambil tahu konsep pengasingan kuasa yang diamalkan dalam negara kita.

Bagaimanapun, Karpal berkata, dalam kenyataannya, bahawa pembangkang akan mengheret Pandikar Amin ke mahkamah berhubung keputusan menggantung empat ahli parlimen pembangkang itu.

Tambah beliau, mereka akan mengemukakan saman secepat mungkin. Di samping itu, beliau menolak kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz bahawa keputusan Dewan Rakyat tidak boleh dicabar di mahkamah.

Manakala Mahfuz Omar pula berkata, pihaknya akan merujuk dan melaporkan keputusan Parlimen itu kepada Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) dan Kesatuan Parlimen Antarabangsa (IPU).

Demonstrasi jalanan tukar speaker?

Dan, ada banyak lagi cara-cara yang mungkin sedang dilaksanakan di pihak masing-masing. Tapi, kita melihat kenyataan Nazri Aziz itu ada kebenarannya iaitu keputusan Parlimen tidak boleh dibawa dalam mahkamah. Ini semua terkait dengan semangat pengasingan kuasa itu.

Hal inilah yang kita katakan sebagai, 'legally right, but morally wrong' atau secara perundangan, hal ini adalah sah, tetapi mengikut peraturan akhlaknya, tindakan ini adalah salah.

Umno akan masih setia berpegang kepada falsafah dosa – hukuman ini. Biarlah mereka buruk di dalam penglihatan orang-ramai, tetapi mahkamah tetap memutuskan bahawa mereka bersalah.

Arakian, dihanyutkan oleh 'kewarasan' seperti inilah, maka rakyat perlu bersedia. Jika kuasa kehakiman memang tidak boleh menjatuhkan hukuman ke atas Pandikar Amin Mulia, adakah rakyat akan berdemo di jalanan lagi untuk menuntut speaker Parlimen ditukar ganti?

Tiada ulasan: