"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Belasah suami hingga koma: Wanita didakwa

SHAH ALAM: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan memukul suaminya sehingga koma.

S Kasturi, 27, didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang penarik kereta yang dipercayai teman lelakinya, A Steven, 22.

Kedua-dua mereka kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung dan mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Lans Koperal G Vimal Raj, 25, menggunakan sebatang kayu pada jam 1 pagi, 11 November lalu di tempat letak kenderaan di Hulu Yam, Selayang.

Kasturi, pekerja pentadbiran akaun, mengahwini Vimal pada Mac 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.:

Faridah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tertuduh kerana kesalahan adalah serius.

“Kes ini telah mendapat liputan meluas dan telah disiarkan di akhbar dan dilaporkan mangsa telah koma selama sebulan dan hilang ingatan disebabkan kecederaan yang dialami,” katanya.

Peguam, Rajpal Singh yang mewakili Steven merayu jaminan itu dikurangkan atas alasan abang kepada anak guamnya hanya mampu menyediakan jaminan RM5,000.

Kasturi, wanita yang bertubuh kecil itu pula menerusi peguam, M Manoharan memohon agar mahkamah mempertimbangkan keadaan keluarganya yang miskin dalam menetapkan jumlah wang jaminan.

“Saya menghujahkan bahawa terdapat keraguan dalam pertuduhan. Saya tidak boleh percaya seorang isteri boleh memukul suami yang merupakan polis.

“Dari bentuk tubuh badan tertuduh yang kecil dituduh memukul suami adalah sesuatu yang tidak boleh dipercayai,” kata Manoharan.:

Hakim, Hasbi Hasan selepas mempertimbangkan rayuan itu membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Januari 2011 sebagai sebutan semula untuk penyerahan dokumen.

Dalam prosiding itu, Rajpal dan Manoharan juga memaklumkan bahawa anak guam mereka telah dipukul semasa berada di dalam tahanan reman sejak ditangkap pada hari kejadian.:

Menurut Rajpal, Steven mendakwa dirinya dipukul menggunakan kerusi di bahagian kepala, ditendang di muka sehingga bibir dan lidah cedera menyebabkan dia tidak dapat makan selama empat hari.

Manoharan pula berkata, Kasturi yang bekerja di bahagian pentadbiran akaun juga dipukul empat anggota polis lelaki yang dikatakan dari Ibu Pejabat Derah Gombak.

“Tertuduh tidak mengetahui nama mereka, tetapi dia boleh mengecam mereka. Mereka juga didakwa menggunakan kata-kata kesat kepada tertuduh sehingga dia menangis kerana tidak tahan mendengar kata-kata itu,” katanya.

Selepas mendengar dakwaan tersebut, Hasbi mengarahkan Faridah supaya membantu sekiranya tertuduh berhasrat membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

Pada 14 Disember lalu, Vimal Raj yang bertugas di Balai Polis Rawang, menegaskan bahawa dia tidak akan memaafkan perbuatan isterinya itu.
-sinarharian-

Tiada ulasan: