"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelantikan SUK : Kata Pakar ,Selangor Bakal Tuju Krisis Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat mampu membawa kepada krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual untuk diadakan 6 Januari ini, diteruskan, kata pakar-pakar perundangan dan perlembagaan.

Memetik laporan portal The Malayian Insider, pakar-pakar perlembagaan berhujah upacara Khamis depan itu sebagai "tidak sah" memandangkan perlembagaan negeri menyebut bahawa upacara seumpama itu perlu dilaksanakan di hadapan Menteri Besar bukannya Sultan Selangor.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga dikatakan telah mempersembahkan tiga nama untuk pertimbangan Sultan Selangor bagi mengetuai perkhidmatan negeri yang paling kaya itu.

Sedangkan Khalid menganggap pelantikan itu belum muktamad tetapi Istana Selangor menegaskan, keputusan melantik Khusrin yang akan berkuat kuasa esok adalah muktamad.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Difahamkan Datuk Ramli Mahmud yang akan bersara sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Mac depan juga pernah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Mac 2006 ketika negeri itu ditadbir oleh Barisan Nasional (BN).

Ini kali pertama seorang Setiausaha Kerajaan Negeri dilantik selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada Mac 2008.

Peguam veteran Karpal Singh berkata, perkembangan ini boleh membawa kepada krisis perlembagaan kerana ia tidak selari dengan perlembagaan negeri.

"Sultan perlu mendapatkan nasihat perundangan daripada penasihat undang-undang negeri sebelum majlis angkat sumpah diteruskan.

"Dalam perkara-perkara macam ini, Sultan bertindak atas nasihat Eksekutif, Tuanku tidak boleh bertindak sendirian.

"Perkara yang dikhuatiri ialah jika majlis itu diadakan, ia boleh diisytihar sebagai tidak sah oleh mahkamah," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Sehubungan itu kata beliau, langkah tersebut bercanggah dengan perlembagaan negeri memandangkan ia tidak tertakluk kepada Undang-undang Tubuh Selangor.

"Perlembagaan negeri tidak membenarkan perkara ini . . . tetapi saya berharap ini tidak berlaku, itu sebabnya Sultan perlu berhati-hati sebelum meneruskan perkara ini," kata beliau lagi.

Karpal juga berkata, beliau juga secara peribadi telah diminta oleh Khalid agar melihat aspek itu dari sudut kesahihan perundangan.

"Saya sebenarnya sedang lihat pada aspek perundangan sekarang. Saya diminta membantu bagi pihak Menteri Besar," kata wakil rakyat DAP itu.

"Tindakan Sultan (menyempurnakan majlis angkat sumpah) boleh dibawa ke mahkamah," kata Karpal.

Artikel 52(4) perlembagaan negeri Selangor menyebut bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri perlu menyempurnakan majlis angkat sumpah kerahsiaan tugas di hadapan Menteri Besar.

Tiada sebutan mengenai majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Dalam pada itu, pakar perlembagaan Prof A Aziz Bari juga menyifatkan majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebagai "amalan baru" yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Pada pengetahuan dan pengalaman saya ini kali pertama majlis angkat seumpama diadakan, walaupun saya berpendapat ia hanya satu majlis rasmi semata-mata dan tidak diperlukan," kata beliau.

Menurut beliau, tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri Selangor yang memerlukan pegawai-pegawai kanan negeri mengangkat sumpah di hadapan Sultan.

Sehubungan itu beliau juga melihat perkembangan tersebut akan membawa implikasi baru dalam politik negara ini dan kesan ke atas negeri-negeri lain.

"Ia seolah-olah sesuatu yang tidak dibolehkan mula diguna pakai dalam keadaan tertentu, macam Speaker DUN tiada kuasa mengambil tindakan ke atas ahli dewan sebagaimana disaksikan di Perak dulu, tetapi di Parlimen Speaker dikatakan boleh," katanya yang melahirkan rasa hairan dengan perkembangan semasa.

Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin mengesahkan Pejabat Menteri Besar menerima jemputan majlis angkat sumpah tiga hari lalu.

"Surat undangan diterima dua tiga hari yang lalu," kata beliau ketika dihubungi, yang turut mengesahkan majlis angkat sumpah kerahsian tugas perlu disempurnakan oleh seseorang Setiausaha Kerajaan Negeri di hadapan Menteri Besar.

Khalid juga membayangkan beliau tidak akan menerima Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

"Itu peruntukan dalam perlembagaan negeri," katanya lagi.

Ketika majlis solat hajat di kediamannya di Shah Alam malam tadi, Menteri Besar Selangor menekankan, beliau ada opsyen untuk tidak menerima Khusrin dengan tidak memberikan persetujuan bagi majlis angkat kerahsiaan.

"Jika Khusrin tidak mengangkat sumpah kerahsiaan di hadapan Menteri Besar, maka beliau tidak boleh menyempurnakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri sepenuhnya.

"Beliau tidak boleh hadir mesyuarat Exco Kerajaan Negeri atau ada kuasa untuk akses dokumen-dokumen rahsia kerajaan. Sudah pasti beliau akan bertindak sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri atas nama bukan dari segi tugas dan tanggungjawab.

"Menteri Besar membayangkan ini opsyen yang Selangor ada, tidak membenarkan Setiausaha Kerajaan Negeri angkat sumpah," kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Beliau antara mereka yang hadir pada majlis malam tadi di mana Menteri Besar Selangor membuat kenyataan terbuka buat kali pertama.

Kelmarin, kerajaan negeri Selangor menyangkal dakwaan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, bahawa ia lewat menghantar senarai calon untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Faekah berkata tidak ada peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dibuat dalam tempoh masa tertentu.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut pada 27 November lepas dengan menubuhkan sebuah panel temu duga sejajar dengan nota amalan.

"Panel Pemilihan telah menyenarai pendek calon-calon (bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan) dan Menteri Besar pada 17 Disember lepas mempersembahkan nama-nama tersebut untuk pertimbangan Sultan Selangor.

"Meskipun penubuhan panel ini bukanlan satu kemestian, Kerajaan Selangor mahu menyemai satu tatacara yang baik yang mana pelantikan jawatan tinggi perlu melalui proses telus, bebas dan bertanggungjawab.

"Menteri Besar tidak mahu menggunakan kuasa penentu untuk memilih pegawai tinggi kerajaan," kata Faekah.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pelantikan Khusrin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), sebagai Setiausaha

Kerajaan Negeri Selangor yang baru belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuat kuasa esok oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
-tvsnews-

Tiada ulasan: