Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 29 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyempurnakan pelancaran semula kempen Kita Bersaudara pada program Sua Kasih Kita Bersaudara, 9 Januari 2011.
Program tersebut dianjurkan Lajnah Penerangan & Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat (LPD DMPP) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Titiwangsa di bawah Dr Lo' Lo' Ghazali.
Pengerusi Sekretariat Kita Bersaudara DMPP, Aiman Athirah Al Jundi berkata, pada program anjuran bersama itu, Presiden PAS akan melancarkan logo Kita Bersaudara dan Skuad H13 Kita Bersaudara sebagai satu usaha menyempurnakan lagi Kempen Kita Bersaudara yang telah dilancarkan sebelum ini.
"PAS menerusi Lajnah Penerangan & Dakwah, Dewan Muslimat PAS Pusat sangat prihatin akan keperluan untuk memastikan rakyat negara ini dapat terus hidup dalam keadaan aman dan harmoni meskipun terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan ideologi politik.
"PAS senantiasa mengambil posisi untuk konsisten mempertahankan perpaduan dan persefahaman di antara semua komuniti yang menjadi entiti penting pembentukan Malaysia," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, sebentar tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan