"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MTUC wajib gabungan tuntut gaji minimum RM1,200 dalam CA

G Manimaran
PETALING JAYA, 29 Dis: Kesatuan-kesatuan gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dikehendaki mengemukakan tuntutan gaji minimum RM1,200 apabila mengadakan rundingan perjanjian bersama (CA) tiga tahun sekali mulai sekarang.

Dengan resolusi diluluskan hari ini, pekerja-pekerja yang diwakili MTUC, akan diperjuangkan gaji sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan.

Keputusan ini diambil di sebalik keputusan kerajaan yang baru-baru ini telah meluluskan pendirian mahu memperkenalkan dasar gaji minimum nasional mulai tahun depan, tetapi kadarnya belum diputuskan lagi.

Dalam tuntutan gaji minimum sebelum ini, MTUC meletakkan gaji asas RM900 dan elaun kos sara hidup pula RM300.

“Kita hendak mengemukakan cadangan kepada kesatuan-kesatuan gabungan supaya memasukkan tuntutan gaji minimum, bermakna tidak semestinya apa yang kita minta dapat tetapi sasaran kita ialah RM1,200,” kata Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud pada sesi perbahasan usul persidangan tiga tahunannya di sini petang ini.

“(Mulai sekarang) kesatuan gabungan apabila mengadakan perundingan CA, perlu mengemukakan perkara ini untuk pertimbangan (majikan masing-masing),” katanya.

Semalam, dilihat sebagai isyarat arah aliran menjelang pilihan raya umum ke-13, Syed Shahir berkata, pihaknya mahu kerajaan melaksanakan dasar gaji minimum dilaksanakan secepat yang mungkin.

“Seberapa segera. Ya, keyakinan saya tinggi (akan dilaksanakan sebelum pilihan raya umum),” kata Syed Shahir.

“Kami akan menyokong mana-mana parti yang menghormati hak-hak pekerja,” kata beliau sambil menambah, walaupun ramai ahli MTUC berlainan parti tetapi dalam isu pekerja “kami bersatu.”

MTUC dilihat akan meletakkan ia sebagai salah satu perkara yang akan dituntut pihaknya pada pilihan raya umum ke-13.

Isu gaji minimum menjadi isu diperjuangkan MTUC sejak enam dekad yang lalu.

MTUC mempunyai 500,000 ahli dengan 260 kesatuan gabungan.

Hampir 80 peratus kesatuan gabungannya adalah dari swasta dengan hampir 60 peratus ahlinya memperoleh gaji bawah RM1,200 sebulan – dalam lingkungan RM600 hingga RM750.

Gaji minimum dijangaka akan memanfaatkan tiga juta pekerja secara langsung.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: